KUALA LUMPUR: Nilai murni seperti adab dan budi yang sepatutnya menjadi pegangan utuh orang Melayu kian terhakis sehingga dikuasai 'nilai hitam' sekali gus dibimbangi menguasai perilaku dan pemikiran 'penganut' bangsa itu khususnya orang politik berbangsa Melayu di negara ini.
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, berpandangan jati diri orang Melayu sekarang seolah-olah sudah hilang punca.
Selain itu, katanya, kegagalan memahami tafsiran Perkara 160 yang terkandung dalam Perlembagaan Malaysia boleh menggugat 'pegangan' orang Melayu.
"Soalannya, adakah mereka mempunyai tujuan murni yang sama untuk mengatasi masalah sama mengenai kehidupan kita? Adakah orang Melayu dalam politik yang memegang kuasa terasa bahawa adab dan budi kita sedang diancam nilai hitam.
"Ini terasa oleh saya. Jika tidak masakan perkataan seperti adab ini berdepan dengan kita secara harian. Kita pun orang Melayu menyebut mengenai budi setiap hari.
"Orang Melayu sekarang sudah hilang punca. Kalau ditanya apakah budaya Melayu sekarang? Kita patut jawab kita ada adab, budi, budaya dan Islam. Jika ditanya lagi, apakah erti Melayu? Kita belek balik perkara 160," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Lembaga Peradaban Melayu (ADAB) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai penekanan Perkara 160, Rais berkata, ia terkandung nilai seperti adab, budi, budaya dan cara hidup yang sepatutnya menjadi amalan orang Melayu.
Dalam peruntukan itu, beliau berkata, ia menggariskan seorang Melayu ialah yang bertutur secara lazim dalam Bahasa Melayu, yang memeluk agama Islam, mengamalkan adat istiadat.
"Itu bermaksud budaya ada di dalamnya adab, ada di dalamnya budi, cara hidup. Timbul pula berapa ramai dalam kalangan pemimpin kita di Malaysia tahu mengenai peruntukan 160 dalam Perlembagaan kita?. Barangkali ramai tahu tetapi tak kisah. Ramai yang membaca.
"Tidak menjadi masalah kita berbahaya Melayu tetapi bahasa Melayu apa kita cakap hari ini? Adakah bahasa Melayu rojak? bahasa Melayu campur? Apakah bahasa Melayu yang maknanya seperti di bawah perkara 160? Tidak ada yang boleh jawab," katanya.
Justeru, beliau berharap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti ADAB dan Yayasan Budi yang diterajui beliau termasuk NGO berkaitan dengan tamadun Melayu hendaklah bangkit bersama dalam bentuk konteks yang baharu.
Katanya, ia penting bagi mengenalpasti perkara berkaitan dengan kelemahan masyarakat.
"Bermakna budaya dan tamadun adalah penting tetapi ia nampaknya ditinggalkan oleh masyarakat Melayu.
"Oleh kerana persatuan atau ADAB ini mempunyai tanggungjawab dan aspirasi besar, ia harus bersama dengan segmen kerajaan serta masyarakat membina beberapa program yang membawa kepada pembaharuan sikap dan perbuatan berkaitan dengan peradaban.
"Sistem pendidikan kita hanya menyentuh antara pergi dan datang sahaja. Bermakna tidak serius dalam soal budaya tinggi dan dalam soal adab tinggi serta soal budi bahasa dan nilai murni," katanya.