Trending
Nasional

Pelancaran MEASAT-3d mampu rapatkan jurang digital

KUALA LUMPUR: Pelancaran satelit kelapan negara, MEASAT-3d semalam mampu merapatkan jurang digital di negara ini.

Ketua Penerangan Parti Bangsa Malaysia (PBM), Zakaria Abdul Hamid, berkata satelit itu juga akan dapat menyediakan liputan internet untuk semua kawasan berpenduduk sekali gus meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar menjadi sebaik rangkaian gentian optik.

Beliau berkata, dengan pelancaran satelit itu rakyat negara ini terutama golongan belia dan mereka yang tinggal di kawasan luar bandar serta pedalaman dapat memanfaatkan pelbagai peluang yang disediakan melalui infrastruktur berkenaan.

"Selepas beroperasi, penyedia perkhidmatan telekomunikasi juga boleh menggunakan satelit untuk menawarkan perkhidmatan data, suara dan video kepada tiga hingga lima peratus daripada populasi yang belum lagi mendapat sambungan jalur lebar gentian seperti yang ditawarkan oleh MEASAT melalui jalur lebar satelit CONNECTme NOW.

"Ini bermakna, tiada lagi alasan bagi mereka yang tinggal di kawasan tiada sambungan internet untuk memanfaatkan pelbagai peluang yang disediakan melalui infrastruktur ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

MEASAT-3d dilancarkan ke orbit dari European Spaceport di Kourou, French Guiana, pada jam 6.50 petang waktu tempatan (jam 5.50 pagi waktu Malaysia).

Siaran langsung pelancaran itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini.

Zakaria berkata, antara peluang yang boleh direbut melalui penyediaan infrastruktur seperti MEASAT-3d, termasuk akses pasaran, peningkatan kemahiran, sumber pengetahuan dan pertumbuhan diri.

Katanya, pembuat kraftangan sebagai contoh mempunyai akses pasaran yang terhad sebelum ini kini mempunyai pasaran seluruh dunia sekali gus dapat menghapuskan peranan orang tengah.

"Begitu juga peladang boleh belajar daripada panduan yang banyak disediakan dalam internet untuk meningkatkan hasil, manakala golongan muda boleh belajar ilmu pengekodan dari sumber teknologi yang sama.

"Dalam hal ini, Perdana Menteri bukan saja berjaya menyelia pelancaran satelit negara dengan sempurna, malah juga atas komitmen beliau ke arah merapatkan jurang digital di seluruh negara, termasuk Malaysia Timur, yang masih ada beberapa kawasan mempunyai ketersambungan capaian internet yang lemah.

"Ini adalah sebahagian daripada inisiatif Rangkaian Digital Kebangsaan (JENDELA) untuk membawa sambungan Internet ke setiap pelusuk negara kita," katanya.

Related Article