Trending
Nasional

Kereta terperangkap dalam banjir kilat

PORT DICKSON: Hujan lebat berterusan hampir tiga jam menyebabkan beberapa kawasan perumahan dan jalan raya dinaiki air setinggi hampir satu meter di Bandar Springhill pagi tadi.

Menurut mangsa, Murizan Mohamad, 45, hujan berterusan sejak awal pagi tadi menyebabkan jalan berhampiran rumahnya dinaiki air hampir satu meter.

"Nasib baik kawasan rumah saya agak tinggi dan air hanya naik di depan rumah sedalam hampir satu meter namun kembali surut sejam kemudian.

"Keadaan ini berlaku mungkin kerana longkang tersumbat namun banjir di kawasan ini memang kerap berlaku jika hujan lebat lebih daripada satu jam," katanya.

Katanya, dia berharap sesuatu dilakukan agar kejadian banjir kilat tidak berlaku lagi.

"Keadaan ini bukan sahaja menyusahkan rakyat tetapi boleh merosakkan struktur jalan dalam taman dan juga jalan raya yang sering dinaiki air yang menyebabkan kenderaan rosak.

"Berapa lama lagi rakyat perlu tempuhi kesusahan ini setiap kali hujan lebat kerana sudah lebih 10 tahun, keadaan masih tidak berubah," katanya.

Penduduk lain, Daud Daie, 58, berkata dia kesal kerana masalah banjir kilat sudah terlalu lama berlaku tetapi masih tiada tindakan pihak berwajib.

"Pengguna jalan raya kawasan ini adalah mangsa keadaan kerana air naik mendadak setiap kali hujan lebat di kawasan ini terutama kenderaan kecil.

"Baru-baru ini ada usaha kerajaan negeri membesarkan longkang di tepi jalan antara jalan lama arah ke Seremban tetapi ia kembali tersumbat dan pengguna jalan terperangkap akibat air naik terlalu cepat," katanya.

Pengguna jalan raya, Saraj Mohamad Crinbakas, 57, berkata keretanya tersangkut selepas air naik mendadak ketika dalam perjalanan ke Lukut.

"Saya tidak dapat berbuat apa-apa dan terperangkap dalam banjir ketika dalam perjalanan ke Lukut atas urusan kerja pagi tadi," katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Mazlan Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan bergegas ke lokasi kejadian pada jam 9.50 pagi tadi.

"Pasukan Bomba dan Penyelamat sampai 15 minit kemudian dan terdapat buah kenderaan jenis Proton X70 dan Mitsubishi Pajero yang mana kedua-dua pemandu ini dapat diselamatkan.

"Kedua-dua mangsa dapat diselamatkan dan ditempatkan di lokasi selamat sementara menunggu air kembali surut namun pihak bomba masih meneruskan pemantauan di kawasan ini," katanya.

Related Article