Trending
Nasional

Mesyuarat khas MAFI, KPDNHEP bincang isu ayam esok

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengadakan satu mesyuarat khas esok, berhubung isu bekalan ayam dan harga siling baharu di pasaran.

Mesyuarat berkenaan akan turut disertai oleh peserta industri penternakan ayam bagi membincangkan isu berkaitan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata mesyuarat ini diadakan susulan keputusan kerajaan yang telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini, supaya harga ayam di pasaran tidak diapungkan.

"Keputusan yang dibuat ini membuktikan keprihatinan kerajaan demi menjaga kepentingan Keluarga Malaysia supaya bekalan ayam terus diperoleh dengan harga kawalan yang berpatutan.

"Bekalan ayam kekal stabil pada minggu ketiga bulan Jun 2022 dan mencukupi untuk menampung permintaan bulan semasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara juga akan bersidang pada Isnin, 27 Jun, bagi terus memantau status bekalan makanan negara dan pelaksanaan tindakan intervensi yang dirangka bagi menangani isu bekalan makanan.

"Kerajaan akan meneruskan usaha untuk memastikan ketersediaan dan kelangsungan bekalan ayam di pasaran kekal terjamin dengan harga yang berpatutan bagi memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia," katanya.

Related Article