Trending
Nasional

3 terselamat kereta terjunam masuk sungai

TAPAH: Seorang pesara tentera termasuk dua wanita nyaris cedera selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam sungai dekat Batu 12 Jalan Tapah-Cameron Highlands semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam, pemandu kereta yang juga pesara tentera yang berumur 51 tahun tidak cedera.

Seorang penumpang iaitu wanita berumur 45 tahun cedera di bahagian muka dan seorang lagi wanita berumur 37 tahun pula tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata polis menerima maklumat berhubung kejadian terbabit jam 11.59 malam daripada orang awam.

Menurutnya, ketika kejadian ketiga-tiga mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Bangi, Selangor ke Kuala Krai, Kelantan.

"Siasatan awal polis mendapati apabila tiba di tempat kejadian semasa pemandu hendak memasuki selekoh jalan dipercayai mangsa telah keliru dengan arah laluan.

"Kebetulan jalan yang dilalui gelap dan pemandu ternampak besi penghadang jambatan seperti pagar lalu terus terbabas masuk ke dalam sungai terbabit," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wan Azharuddin berkata pemandu juga tidak biasa dengan laluan terbabit apatah lagi keadaan garisan jalan pudar dan cat jambatan yang sudah lusuh.

"Ketika kejadian, pemandu berjaya keluar sendiri dari kereta terbabit manakala dua lagi penumpang kereta yang juga wanita diselamatkan oleh orang awam.

"Kereta yang dinaiki tiga mangsa telah tersangkut pada batu di celah kayu balak dan semua mangsa telah dibawa ke Hospital Tapah untuk menerima rawatan selanjutnya," katanya.

Kenderaan dinaiki mangsa dikeluarkan dari lokasi kejadian kira-kira jam 11.00 pagi tadi.

Related Article