KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan sebarang laporan membabitkan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebagai palsu.
Beliau menegaskan perjumpaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Jemaah Menteri setiap minggu hanya membincangkan hal berkaitan negara tanpa menyentuh soal pilihan raya.
"Saya selaku Menteri Komunikasi dan Multimedia boleh menjawab dengan ringkas bahawa sebarang laporan berita mengenai perkara itu adalah palsu.
"Inflasi berlaku di seluruh dunia bukannya di Malaysia saja dan ia langsung tiada kaitan dengan bila pilihan raya akan diadakan.
"Bagaimana boleh kaitkan inflasi dengan tarikh pilihan raya. Kalau inflasi boleh dipilih bila, saya nak belajar juga," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Logo dan Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022, di sini, hari ini.
Sebelum ini, terdapat media melaporkan desas desus PRU-15 akan diadakan pada Oktober ini berikutan inflasi melanda negara.
Sementara itu, pada majlis berkenaan, logo dan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 diperkenalkan bertemakan 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama'.
Ia adalah selari dengan konsep keharmonian Keluarga Malaysia yang diaspirasikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.