Trending
Nasional

Pembayaran tanpa tunai di semua fasiliti KKM mulai Oktober ini

KUALA LUMPUR: Semua fasiliti Kementerian (KKM) dijangka akan menerima pembayaran tanpa tunai mulai Oktober depan.

Pembayaran boleh dibuat menerusi mod e-pembayaran seperti kad debit, kad kredit dan e-dompet mulai 1 Oktober 2022, manakala pembayaran secara tunai hanya dibenarkan jika pelanggan tidak mempunyai akses sedemikian.

Dalam satu pekeliling Ketua Setiausaha KKM, yang bertarikh kelmarin menyatakan, pembayaran tanpa tunai sebagai pilihan kaedah transaksi itu ditetapkan menerusi Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia Tahun 2021 bagi peringkat Persekutuan dan negeri.

Ia turut dilaksanakan bagi mengelakkan berlakunya ketirisan hasil kerajaan, selaras dengan Pelan Antirasuah KKM 2021-2022.

"Semua fasiliti KKM hanya akan menerima bayaran secara tanpa tunai sahaja melalui mod e-pembayaran seperti kad debit, kad kredit dan e-dompet mulai 1 Oktober 2022.

"Terimaan bayaran secara tunai hanya dibenarkan jika pelanggan tidak mempunyai sebarang mod e-pembayaran atau akaun bank," menurut kenyataan itu.

KKM menjangkakan hasil yang positif daripada inisiatif itu, antaranya pengurangan risiko berlakunya ketirisan wang awam dan peningkatan kecekapan pengurusan terimaan hasil di kaunter.

"Kutipan hasil akan lebih cepat, mudah dan selamat. Selain itu, berlaku pengurangan kos dan proses kerja dalam urusan kutipan hasil di peringkat Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan pengurangan risiko jangkitan COVID-19 di kaunter bayaran disebabkan 'contactless platform'," katanya.

Pekeliling itu menyebut, semua Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) perlu mengambil langkah bagi kelancaran inisiatif berkenaan, antaranya memastikan sekurang-kurangnya 95 peratus transaksi terimaan tanpa tunai di setiap fasiliti masing-masing serta mengenal pasti PTJ bagi pelaksanaan terimaan bayaran tanpa tunai menggunakan Terminal Point of Sale (TPOS) dan DuitNow.

"Mereka juga perlu mengenal pasti bilangan kaunter yang perlu dilengkapkan dengan TPOS bagi setiap PTJ; memastikan semua PTJ yang dikenal pasti mempunyai Akaun Terimaan Kecil Perbendaharaan (ATKP) dan tidak dorman.

"Selain itu, memastikan semua petugas kaunter dilatih dengan penggunaan TPOS dan kaedah rekod perakaunan . Bahagian kewangan KKM dan bahagian akaun KKM akan menyelaraskan latihan mengikut zon, memastikan petugas kaunter mempromosi pembayaran tanpa tunai dan merekod statistik bulanan terimaan tanpa tunai," katanya.