Trending
Nasional

Isu kapal tempur TLDM: 'Tak wajar kait dengan saya' - Zahid

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tidak wajar menuding kepadanya berkait isu kegagalan perolehan kapal tempur pesisir (LCS).

Kata Presiden UMNO itu, beliau bukan menteri pertahanan ketika projek itu diberikan, sebaliknya memegang portfolio berkenaan dalam tempoh April 2009 hingga Mei 2013.

Ahmad Zahid menegaskan, mereka yang terbabit dalam kegagalan perolehan LCS perlu menjelaskan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

"Saya memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan dari April 2009 hingga Mei 2013. Jadi mana-mana pihak yang menyebabkan kelewatan pembinaannya haruslah bertanggungjawab memberikan penjelasan kepada PAC.

"Ia (bagi) menyokong penuh pendedahan kelewatan ini," katanya seperti dilapor UMNO Online, malam tadi.

Khamis lalu, PAC mengumumkan sembilan rumusannya sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam kapal tempur pesisir (Littoral Combatant Ship - LCS) bernilai RM9 bilion.

Melalui laporan PAC berkenaan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

BNS adalah anak syarikat Boustead Holdings Bhd, yang pemegang saham terbesarnya adalah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menjelaskan, menurut laporan audit PAC, kontrak kepada BNS dianugerahkan mengikut Garis Panduan Permohonan Perolehan Secara Rundingan Terus bertarikh 17 April 2002.

"Secara jelas ia tiada kaitan dengan saya, malah LTAT sendiri menjadi pemegang saham terbesar dalam syarikat pembinaan LCS itu," katanya turut menyatakan kesediaan memberi keterangan dan penjelasan kepada PAC berhubung isu terbabit.

Dalam laporannya sebelum ini, PAC turut memaklumkan kajian daya maju yang dilakukan kerajaan terhadap BNS untuk pembinaan lima kapal LCS TLDM gagal mengesan masalah kewangan syarikat itu.

Ia dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007, yang berkuat kuasa ketika itu.

LCS pertama sepatutnya dihantar pada 2019 tetapi hanya 44 peratus siap, menurut laporan PAC.

Laporan itu juga mengatakan pandangan panglima TLDM tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan dan Boustead.

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli sebelum ini mendakwa siasatan dalaman juga menunjukkan sekurang-kurangnya RM890 juta telah diselewengkan daripada projek itu akibat penipuan, pertindihan kontrak dan pelbagai penyelewengan lain.

Related Article