KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, mendakwa wujud perancangan awal untuk menyembunyikan pembabitan subkontraktor dari Perancis, DCNS, syarikat yang sering dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS).
Rafizi mendakwa, DCNS menggunakan tiga lapis syarikat bagi projek pembinaan enam kapal perang itu, yang menyebabkan kosnya meningkat tiga kali ganda.
Dakwa beliau, secara logiknya, jika DCNS adalah pembekal utama kepakaran, reka bentuk dan pembinaan kapal LCS, Kerajaan Malaysia sewajarnya melantik DCNS secara terus, seperti yang dilakukan dalam projek kapal selam Scorpene.
Bagaimanapun, kerajaan sebaliknya melantik Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) sebagai kontraktor utama, yang kemudian melantik syarikat lain sebagai subkontraktor.
"Walaupun keputusan ini dijelaskan sebagai usaha untuk membantu veteran tentera kerana BNS milik Boustead yang dimiliki Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan membina kepakaran tempatan, namun tindakan melantik lagi dua lapis subkontraktor sebelum sampai kepada pembekal akhir iaitu DCNS, membayangkan ada unsur penyelewengan daripada awal," dakwa beliau dalam kenyataan terbaharu mengenai LCS, hari ini.
Semalam, Rafizi mendakwa, ada pihak berkepentingan yang mahukan DCNS, kontraktor sama yang terbabit dalam pembinaan dan pembekalan kapal selam Scorpene, dipilih membekalkan reka bentuk serta membina LCS walaupun Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ketika itu mahu mendapatkan kapal kelas Sigma.
Beliau mendakwa, BNS mengeluarkan dua surat lantikan (LOA) pada 9 April 2012 bagi dua pakej utama perbekalan dan pembinaan kapal perang LCS bernilai RM1.185 billion untuk melantik subkontraktor, yang dianugerahkan kepada Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD).
Lebih mengejutkan dakwa beliau, pada hari sama BNS melantik CAD, syarikat itu turut membenarkan CAD melantik syarikat bersekutunya, Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED) sebagai sub kontraktor kepada CAD.
CED kemudian mengeluarkan LOA nya kepada DCNS untuk membekalkan kerja dalam dua pakej yang masing-masing berjumlah RM898 juta dan RM287 juta, yang perlu dibayar kerajaan.
"Malangnya, siasatan menunjukkan, bagi dua pakej yang dimuktamadkan pada harga RM1.185 bilion dengan kerajaan, LOA dari CED sebagai sub kontraktor lapis kedua kepada DCNS meletakkan kos sebanyak RM397 juta saja.
"Ini bermakna, bagi kerja yang akan diinvois oleh DCNS kepada CED sebanyak RM397 juta, tuntutan dari sub kontraktor CED dan CAD kepada kerajaan melalui BNS adalah tiga kali ganda lebih mahal.
"Kanak-kanak pun boleh membuat kesimpulan ada tangan ghaib di belakang syarikat BNS, CAD dan CED, yang menyusun kontrak perbekalan hingga mengambil komisen 200 peratus daripada kos yang dicaj DCNS," katanya.
Justeru dakwa beliau, cubaan Najib mengalihkan perhatian daripada isu LCS setakat ini amat lemah dan memberi gambaran seolah-olah semuanya berkaitan kelemahan birokrasi akibat keputusan Pakatan Harapan (PH) menyiasat projek itu, selain cuba menipu pengikutnya yang skandal itu langsung tiada unsur rasuah.
"Saya akan terus mendedahkan bagaimana keputusan penting dalam pengurusan projek LCS mempunyai bukti penyelewengan secara terang-terangan. Ada pihak yang menyusun segala-galanya untuk merompak wang rakyat melalui projek ini.
"Persoalan utama, siapakah "kepala jerung" yang mempunyai kuasa mengarah dan melindungi pegawai tertentu dalam BNS untuk melakukan rompakan di siang hari seperti ini? Saya tunggu komen Najib Razak," dakwanya.
Sementara itu, Najib dalam reaksinya menerusi Facebook, membangkitkan pertanyaan sama ada Rafizi mahu menuduhnya berpakat untuk "songlap" dana projek LCS.
Dalam status itu, beliau turut memperincikan pemilikan saham subkontraktor CAD dan CED, yang juga syarikat usaha sama di antara anak syarikat Boustead Naval Shipyard milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT)–Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) dan syarikat Jerman terkenal Rheinmetall Air Defence AG.
Beliau berkata, pengarah urusan BHIC dan pengerusi jawatankuasa projek LCS pada ketika itu adalah bekas Panglima TLDM, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor.
"BHIC juga merupakan syarikat tersenarai dalam Bursa Malaysia. Jadi, apa kaitan isu ini dengan saya?
"Adakah Rafizi tuduh bahawa bekas panglima tentera laut, LTAT dan syarikat gergasi Jerman itu berpakat dengan saya untuk songlap?" soalnya.
Menegaskan tidak pernah campur tangan dalam pemberian dan pengurusan LCS, Najib berkata, beliau tiada bantahan sekiranya pihak berkenaan disiasat kerana tidak langsung terlibat dalam isu berkenaan.