Trending
Nasional

Apa seterusnya tindakan Najib....

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak boleh mengemukakan rayuan bagi mendapatkan pengampunan diraja atau memfailkan semakan terhadap keputusan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Peguam Kanan, Hasif Hassan, berpandangan rayuan untuk memperoleh pengampunan diraja boleh dibuat berdasarkan merit atau jasa Najib selaku bekas Perdana Menteri kepada negara.

Meskipun proses itu memerlukan masa, beliau berkata, terdapat ruang untuk Najib berbuat demikian supaya kesalahan Ahli Parlimen Pekan itu dapat diampun, sekali gus dapat bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

"Saya berpandangan, Najib diberi pengampunan diraja, itu lebih bermerit.

"Maksudnya, Najib berjasa kepada negara, bekas Perdana Menteri, beliau membangunkan negara, pernah menjadi Menteri Besar Pahang termuda...banyak benda yang mungkin beliau lakukan kepada negara.

"Najib boleh cuba mendapatkan pengampunan terus...tiada kesalahan, maka beliau mungkin boleh bertanding (PRU-15). Itu yang saya nampak, pengampunan terhadap hukuman dikenakan terhadap beliau," katanya kepada BH, hari ini.

Mengulas proses pengampunan, Hasif berkata, menjelaskan ia menelan masa kerana memerlukan cukup rekod untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Belum pernah ada pengampunan (diraja) segera. (Datuk Seri) Anwar Ibrahim pun melalui hukuman penjara beberapa lama dulu dan disusuli dengan pengampunan.

"Mengikut kelaziman, pengampunan perlu ada cukup rekod mahkamah, ada alasan penghakiman dan ada cukup rekod untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Seorang lagi peguam, Fahmi Abd Moin, berkata Najib masih berpeluang mengemukakan semakan terhadap keputusan panel hakim berkenaan.

Bekas timbalan pendakwa raya itu berkata, peguamnya boleh membuat permohonan itu di hadapan panel lain mengikut Peraturan 137 Peraturan-Peraturan Mahkamah Persekutuan 1995.

Peraturan itu menyebut tiada apa-apa dalam peruntukan berkenaan dianggap mengehadkan atau menjejaskan kuasa budi bicara mahkamah untuk mendengar sebarang permohonan atau membuat sebarang perintah yang mungkin perlu bagi mengelak ketidakadilan atau mengelak penyalahgunaan proses mahkamah.