Trending
Nasional

Mesej Najib untuk keluarga sebelum jadi penghuni penjara

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meninggalkan nota untuk ahli keluarganya sebelum beliau menjadi penghuni penjara selepas dijatuhi hukuman penjara 12 tahun bermula semalam.

Perdana Menteri keenam itu mengakui tidak pernah kesal memilih meneruskan legasi bapanya, Almarhum Tun Abdul Razak Hussein, namun apa yang meruntun hatinya ialah apabila pilihan itu membuatkan beliau terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga.

"Tahun-tahun berlalu, didedikasi kepada rakyat, perkhidmatan awam, politik. Satu pengorbanan yang saya pilih dan saya lakukan. Perjalanan yang menggembirakan dengan kehadiran anda tetapi malangnya saya terlepas pandang dan tidak dapat sentiasa ada untuk anda semua.

"Satu perjalanan yang sedih sekali diserikan dengan kehadiranmu tetapi tidak terbalas oleh Daddy," luahan beliau dimuat naik di media sosial rasminya malam tadi.

Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Nota meruntun hati yang ditinggalkan di atas meja untuk tatapan keluarga dan anak cucu turut mengenang tempoh 46 tahun karier politik serta perkhidmatan awam Najib yang mengambil seluruh masanya.

"Keluargaku, anak cucuku. Dari tahun 1976 Daddy mula aktif dalam politik dan perkhidmatan awam sepenuh masa.

"Ke hari ini, 46 tahun lamanya. Daddy memilih mewarisi legasi nenda, meneruskan usaha nenda. Daddy memilih kerja.

"Dunia politik dan perkhidmatan awam ada kelebihan dan kekurangannya.

"Merancang pembangunan. Menggubal dasar kebajikan. Mengurus ekonomi. Mengukuhkan hubungan antarabangsa. Menyelesaikan krisis," katanya lagi.

Menerusi nota itu juga Najib mengatakan cabaran itu dengan hasilnya yang baik membawa senyuman kepadanya dan ada kalanya hasil diharapkan tidak sebaik diinginkan, tetapi membuatkan beliau terus mencuba.

"Melihat kembali, ia satu pengorbanan besar. Tahun-tahun dan masa-masa yang ada datang dan berlalu begitu sahaja.

"Dari subuh ke larut malam, ada saja urusan yang perlukan perhatian. Masa makan pun bermesyuarat, berjumpa tetamu, tidak bersama you all (kamu semua)," katanya.

Hukuman penjara yang dijalani menjarakkan mereka sekeluarga, namun Najib seakan-akan reda dengan situasi itu.

"Setakat ini sahaja yang Daddy dapat bersama. Daddy pegang teguh kepada ajaran agama Islam. Jika ditakdirkan ini perjalanannya dan dugaan Allah SWT, apalah daya, Daddy manusia dan hamba-Nya.

"Menanti keadilan dan penghakiman di mahkamah akhirat.

"Di dunia kita hidup sementara, dibangkitkan di akhirat, bersama-sama nanti kita bahagia semula di sana," tulisnya lagi.