Trending
Nasional

Ebit Lew dibicarakan atas 11 pertuduhan gangguan seksual, bulan depan

KUALA LUMPUR: Pendakwah terkenal, Ebit Lew, akan dibicarakan atas 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual di Mahkamah Majistret Tenom, Sabah, bermula 27 hingga 30 September depan.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Komisioner A Skandaguru, dalam satu kenyataan, hari ini.

"Ebit Liew yang telah dituduh di Mahkamah Majistret Tenom pada Februari lalu atas 11 pertuduhan gangguan seksual di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, akan dibicarakan pada 27 hingga 30 September 2022 di mahkamah yang sama," katanya.

Jika sabit kesalahan, Ebit Lew, 38, atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

Pada 18 Februari lalu, Ebit Lew, yang juga seorang usahawan didakwa di Mahkamah Majistret Tenom terhadap 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.

Pendakwaan dilakukan Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Muhammad Ilmami Ahmad, dengan dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Azreen Yas Mohamad Ramli, manakala Ebit Lew diwakili peguam, Mohamed Zairi Zainal Abidin.

Ebit Lew kemudian dibebaskan dengan jaminan RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan, sebelum ini dilaporkan berkata, Ebit Lew berdepan pertuduhan membuat penghantaran gambar dan perkataan lucah dengan bermaksud mengaibkan kehormatan seseorang melalui aplikasi WhatsApp.

Katanya, semua pertuduhan adalah bagi kesalahan yang didakwa berlaku di daerah Tenom, Sabah, di antara Mac hingga Jun 2021 terhadap seorang perempuan Melayu.

Pada Julai tahun lalu, siasatan terhadap Ebit Lew dilakukan selepas polis menerima laporan daripada beberapa individu mendakwa pendakwah itu melakukan gangguan seksual.

Susulan laporan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ebit Lew dirakam percakapan bagi membantu siasatan pada Ogos dan Oktober tahun lalu dan beliau berkata, dakwaan itu berunsur fitnah kejam ke atas dirinya.