Trending
Nasional

Hadiah AS$1.17 bilion kerabat Saudi sebab hargai Najib pemimpin Islam moden

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini, diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Razak dijanjikan hadiah wang tunai AS$1.17 bilion oleh kerabat diraja Arab Saudi yang juga bekas Gabenor Provinsi Madinah, Abdulaziz bin Majid Al Saud, sebagai menghargai peranan bekas Perdana Menteri itu selaku pemimpin Islam moden.

Perkara itu dinyatakan peguam bela, Wan Aizuddin Wan Mohameed, ketika mengemukakan dua surat daripada Abdulaziz kepada Najib pada perbicaraan penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Ahli Parlimen Pekan itu.

Surat pertama bertarikh 1 November 2011, menyatakan Abdulaziz berhasrat menghadiahkan wang tunai berjumlah AS$375 juta yang akan disalurkan daripada akaun peribadinya (Abdulaziz) melalui akaun syarikat Blackstone Asia Real Estate Partners Limited.

Surat kedua pula yang bertarikh 1 Mac 2013 menyebut Abdulaziz akan menghadiahkan AS$800 juta daripada akaun peribadinya melalui akaun syarikat Tanore Finance Corp.

Laporan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) sebelum ini menyatakan Blackstone adalah syarikat yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, manakala Tanore dikawal ahli perniagaan Eric Tan Kim Loong yang juga sekutu Jho Low.

Wan Aizuddin mengemukakan surat berkenaan ketika menyoal saksi ke-38 pendakwaan, iaitu Ketua Pasaran Modal Perbankan Persendirian AmBank, Yap Wai Keat.

Menurut surat terbabit, Abdulaziz tidak mengharapkan sebarang faedah peribadi, sama ada secara langsung atau sebaliknya terhadap hadiah yang diberikan dan ia tidak boleh ditafsir sebagai rasuah kerana bercanggah dengan hukum Islam.

Ia turut menyatakan, wang berkenaan hanya hadiah dan akan dimasukkan ke dalam akaun Najib pada bila-bila masa yang bersesuaian dan Najib mempunyai budi bicara untuk menentukan bagaimana ia akan digunakan.

Berdasarkan kepada borang pengiriman wang ke dalam akaun Najib, saksi bersetuju dengan peguam bahawa AS$680 juta yang dimasukkan ke dalam akaun terbabit boleh meliputi jumlah AS$800 juta yang dinyatakan dalam surat Abdulaziz.

Disoal Wan Aizuddin, sama ada pernah melihat kedua-dua surat itu, Wai Keat berkata, beliau tidak dapat mengingatinya, bagaimanapun ada kemungkinan Pengurus Perhubungan Ambank ketika itu, Joanna Yu, menunjukkan kepadanya.

Katanya, Joanna mungkin memberitahunya urus niaga transaksi itu adalah hadiah, di mana ada surat yang disertakan bersama.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak boleh mengesahkan dengan pasti bahawa transaksi itu adalah hadiah daripada Abdulaziz kerana hanya bertanggungjawab untuk menukarkan dana yang masuk ke dalam akaun kepada matawang ringgit.

Minggu lalu, pembelaan turut mengemukakan surat daripada Abdulaziz yang menyatakan bahawa wang tunai berjumlah AS$100 juta dihadiahkan kepada Najib sebagai menghargai sumbangannya kepada dunia Islam.