Trending
Nasional

Asap rokok atau nikotin lebih mudarat?

ISU mengenai rokok terus hangat diperkatakan di negara ini selepas kerajaan berhasrat memperkenalkan polisi larangan merokok dikenali Generational End Game (GEG) atau Generasi Penamat.

Satu Rang Undang-Undang (RUU) baharu bagi menguatkuasakan polisi berkenaan dikenali Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 turut dibentangkan di Parlimen.

RUU berkenaan memperuntukkan larangan bagi individu yang lahir pada atau selepas 1 Januari 2007 daripada merokok, membeli atau memiliki produk tembakau termasuk peranti rokok elektronik.

Cadangan RUU itu juga mendapat reaksi daripada pelbagai pihak yang mana kebanyakannya berpendapat, masih ada beberapa aspek lain boleh diperhalusi dan wajar disemak semula sebelum ia dikuatkuasakan bagi mengelakkan sebarang impak buruk terhadap negara.

Asap rokok berbahaya

Sejak dahulu lagi, majoriti masyarakat di seluruh dunia tahu dan sedar mengenai risiko kesihatan yang bakal dihadapi oleh perokok. 

Tiada yang menafikan mengenai bahaya rokok, malah ramai dalam kalangan perokok sendiri bersetuju dengan pelaksanaan GEG bagi memastikan generasi akan datang tidak terjebak dengan gejala itu.

Namun, sesetengah tafsiran yang mengatakan produk alternatif merokok seperti produk tembakau yang dipanaskan sama bahaya seperti rokok konvensional, ia mungkin suatu pandangan yang kurang tepat. 

Berdasarkan maklumat diperoleh Philip Morris International (PMI), kajian yang dijalankan oleh Ketua Penglibatan Saintifik di Amerika Latin dan Kanada, Dr. Andrea Constantini menunjukkan rokok yang dibakar menyala pada suhu tinggi sehingga 800 darjah celcius.

Proses pembakaran membabitkan penggunaan oksigen dan tembakau itu menyebabkan asap rokok yang mengandungi bahan toksik dibebaskan.

Pengurus Pengurusan Projek dan Integrasi Pengetahuan di PMI, Mark Bentley, pula berkata asap rokok yang dibebaskan daripada proses pembakaran tembakau mengandungi lebih 6,000 jenis bahan kimia. 

"Lebih daripada 100 telah diklasifikan sebagai bahan kimia berbahaya dan berpotensi bahaya, yang mana bahan toksik inilah sering dikaitkan sebagai penyebab penyakit berkaitan merokok.

"Justeru, jika ada produk alternatif merokok yang tidak melibatkan sebarang proses pembakaran seperti itu, maka risiko penyakit disebabkan asap rokok secara tidak langsung dapat dikurangkan," katanya. 

Berdasarkan uji kaji yang dijalankan terhadap produk alternatif, produk tembakau dipanaskan pada suhu  sehingga 350 darjah celsius menjadikannya kurang berisiko berbanding rokok konvensional iaitu 800 darjah celsius

Salah faham mengenai nikotin

Sementara itu, ketika isu GEG hangat dibincangkan, pelbagai kekeliruan dan salah faham mengenai kemudaratan rokok turut tersebar.

Paling popular, kekeliruan mengenai kandungan nikotin yang sering disalah anggap sebagai punca kepada penyakit berkaitan rokok.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Klinikal Solace Asia Addiction Retreat, Solace Wellness dan Solace Academy, Dr Prem Kumar Shanmugam menerusi artikelnya di The Star berkata, walaupun kandungan nikotin dalam tembakau menyebabkan ketagihan, ia bukan penyebab utama penyakit berkaitan dengan rokok.

Nikotin boleh didapati secara semula jadi kerana sumber asal bahan ini adalah daripada tumbuh-tumbuhan dari keluarga Solanaceae atau lebih dikenali sebagai nightshade. 

Kategori tumbuhan ini termasuklah tomato yang mengandungi 332 nanogram (ng) nikotin setiap satu secara purata, kentang 675ng, dan terung 525ng. 

Dalam erti kata lain, pengambilan nikotin tidak menjejaskan kesihatan, malah ia sering digunakan dalam membantu perokok berhenti merokok menerusi terapi penggantian nikotin.

Justeru, bagi membendung permasalahan seperti ini, kawal selia daripada kerajaan atau kementerian berkaitan sangat diperlukan terhadap produk ini.

Bahaya tar, karbon monoksida

Berbeza dengan nikotin, tar dan karbon monoksida yang terhasil daripada proses pembakaran tembakau adalah bahan toksik yang perlu ditakuti oleh perokok.

Berdasarkan maklumat diperolehi menerusi portal Doctor on Call, Tar mengandungi pelbagai bahan kimia berbahaya dan 60 daripadanya bersifat karsinogen yang menjadi punca kepada penyakit kronik seperti kanser.  

Apabila seorang perokok menghisap rokok, tar akan mendap dan membentuk lapisan melekit pada dinding dalaman paru-paru yang berisiko menyebabkan kanser serta gangguan pernafasan. 

Karbon monoksida pula adalah gas beracun yang tidak berwarna dan tidak berbau, ia lazimnya meningkat dalam kandungan darah apabila seseorang itu menghisap rokok. 

Ketika karbon monoksida memasuki saluran darah, ia akan bercantum dengan oksigen sekali gus menyekat oksigen daripada diserap sel tubuh sekali gus mendatangkan bahaya kepada perokok.

Kawal selia berasingan

Kesimpulannya, penyakit berkaitan gejala merokok sebenarnya bukanlah disebabkan nikotin atau tembakau, tetapi ia berpunca daripada asap rokok itu sendiri. 

Memandangkan produk alternatif seperti produk tembakau dipanaskan dikatakan mempunyai tahap risiko yang berbeza atau kurang mudarat berbanding rokok konvensional, maka produk ini wajar diberi kawal selia secara berasingan.

Sebagai langkah awal, kerajaan boleh menjalankan uji kaji ke atas semua bahan dan cecair produk alternatif dan hanya bahan yang diluluskan sahaja boleh dijual kepada pengguna.

Langkah ini bukan sahaja membantu mengurangkan penyalahgunaan produk alternatif itu, tetapi pada yang masa memaksimumkan potensi untuk perokok tegar menggunakannya sebagai medium untuk berhenti merokok.

Rujukan:

  1. 8 Disember 2021, Dr Prem Kumar Shanmugam, The Star: Breaking down nicotine addiction.
  2. 12 September 2021, Haris Asyraf, Doctor On Call: Ketahui 10 Bahan Kandungan Rokok Yang Boleh Membunuh Anda.

Artikel ini diterbitkan untuk PMI