KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan membangunkan aplikasi bagi mengetahui premis yang menawarkan Menu Rahmah di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata aplikasi yang sedang diusahakan itu akan memaparkan direktori premis menawarkan Menu Rahmah.
"KPDN bersama pejabat KPDN negeri akan mengadakan lebih banyak sesi libat urus bersama pengusaha restoran untuk mempromosi Menu Rahmah.
"Kita juga akan membangunkan direktori sebagai rujukan untuk membolehkan orang ramai mengetahui lokasi Menu Rahmah berhampiran dengan mereka.
"Kita akan lancarkan aplikasi itu dalam masa terdekat, beri sedikit masa," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Menu Rahmah Anjuran Persatuan Pemilik Restoran Tom Yam Malaysia (PERTOM) di Medan Selera Lembah Keramat di sini, malam ini.
Salahuddin berkata, kerajaan tidak memaksa pengusaha restoran menawarkan Menu Rahmah, sebaliknya ia dibuat secara sukarela.
"Ia ditawarkan selepas sesi libat urus dengan pihak Mydin, Persatuan Restoran India Muslim, Persatuan restoran India dan PERTOM.
"Tanpa diduga selepas pelancarannya, banyak restoran dan pengusaha kedai makan secara sukarela menyahut seruan kerajaan tampil bersama membantu rakyat yang memerlukan," katanya.
Program bersama PERTOM dimulakan di sekitar Lembah Klang sebelum dikembangkan ke negeri secara berperingkat dalam waktu terdekat, membabitkan 600 pengusaha di seluruh negara.