KUALA LUMPUR: Prihatin terhadap mereka yang kurang bernasib baik, Yayasan Bank Rakyat (YBR) menerusi Program Pemberian Bakul Makanan menyerahkan bantuan sempena Ramadan kepada 200 keluarga dalam golongan asnaf di sekitar Perlis.
Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani, berkata bantuan RM150 bagi setiap keluarga itu diharap dapat memberi sinar keceriaan dan membantu keluarga terbabit dalam persiapan menyambut Aidilfitri.
Katanya, bantuan khas itu diberikan kepada setiap keluarga asnaf dan anak yatim yang dikenal pasti melalui Gerakan Belia 4B Malaysia Kawasan Padang Besar.
"Bantuan ini dapat memberi sedikit kelegaan serta membantu dalam menghayati keberkatan, kepentingan, tuntutan dan cabaran beramal sepanjang bulan Ramadan.
"YBR amat menitikberatkan golongan yang memerlukan bantuan, terutama anak yatim, asnaf dan gelandangan yang kurang mendapat perhatian daripada masyarakat luar.
"YBR sentiasa berusaha untuk memperbanyakkan bantuan lain bagi meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Turut hadir dalam kunjungan itu ialah Pengerusi Gerakan Belia 4B Malaysia Kawasan Padang Besar, Rizal Ismail dan Pengurus Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Syaiful berkata, usaha berkenaan diharapkan menjadi pemangkin kepada organisasi lain menyantuni mereka yang tidak bernasib baik dalam mengharungi kehidupan dan ekonomi yang semakin mencabar.