Trending
Nasional

MMA mahu nikotin dimasukkan semula dalam Akta Racun, kecewa RUU berkaitan rokok tidak dibentangkan

KUALA LUMPUR : Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) untuk segera membatalkan keputusannya mengecualikan nikotin daripada Akta Racun.

Ia susulan industri rokok elektronik atau vape kekal tidak terkawal malah semakin membahayakan kesihatan awam.

"Kami ingin menekankan sekali lagi bahawa penyingkiran nikotin daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun membolehkan mana-mana vape sama ada mengandungi nikotin atau tidak dijual secara terbuka dan sah kepada sesiapa sahaja termasuk kanak-kanak bawah umur," katanya.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Muruga Raj Rajathurai, berkata menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mengutamakan kesihatan awam dan tidak mengabaikan isu ini kerana kesannya yang serius terhadap kesihatan awam, khususnya kesihatan generasi muda.

Selain itu MMA berpendapat kegagalan Kementerian Kesihatan menunjukkan ketegasan mengenai pembentangan Rang Undang-undang Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 amat mengecewakan.

Dr Muruga berkata KKM harus tegas dalam usaha membentangkan Rang Undang-undang (RUU) secepat mungkin demi kepentingan kesihatan awam.

"Ini adalah kekecewaan besar kali kedua selepas Kementerian Kesihatan memutuskan untuk mengecualikan nikotin daripada Akta Racun.

"Perkembangan terbaru ini menimbulkan persoalan, adakah kerajaan benar-benar ikhlas membentangkan RUU tersebut?

"Kami kesal kerana mempunyai harapan yang tinggi selepas keputusan yang mengejutkan hari ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 26 Mei lalu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa mengumumkan bahawa pihaknya berjaya mendapatkan sokongan Kabinet untuk membentangkan RUU itu dan menyifatkannya satu kejayaan.

Dr Zaliha pada Ahad lalu pula mengesahkan RUU itu akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama hari ini.

Bagaimanapun, hari ini, Dr Zaliha mengumumkan RUU berkenaan akan dibincangkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) bagi Kesihatan untuk proses 'semak dan imbang' selanjutnya.

Dr Muruga mempersoalkan adakah kementerian kesihatan baru sahaja memutuskan pagi ini untuk merujuk RUU itu sekali lagi kepada PSSC untuk Kesihatan.

Pada taklimat media yang diadakan pada 6 Jun lalu, Menteri Kesihatan itu berkata kementerian telah memasukkan kesemua 23 cadangan pindaan dan menambah lima cadangan baharu kepada RUU menjadikannya lebih komprehensif kerana ia meliputi bukan sahaja produk merokok konvensional tetapi juga yang baharu, termasuk elektronik.

Menurut Dr Muruga, Dr Zaliha juga pernah berkata RUU itu masih mengekalkan peruntukan Generational End Game (GEG).

"Pada pemahaman kami, kelulusan Kabinet terhadap rang undang-undang bermakna Kabinet bersetuju dengan RUU dan ia sedia untuk dibentangkan.

"Keputusan untuk merujuk semula RUU berkenaan kepada PSSC untuk Kesihatan ini bermakna pembentangan RUU itu sekali lagi akan ditangguhkan," katanya.