Trending
Nasional

Sampah terapung seberat 470 pesawat Boeing 747 dikeluarkan dari Sungai Klang sejak 2016

PELABUHAN KLANG: Sebanyak 86,021 tan metrik sampah terapung, bersamaan berat 470 pesawat Boeing 747, dikeluarkan dari Sungai Klang sejak operasi pembersihan dilaksanakan pada 2016.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata, beliau menerima laporan berkenaan daripada anak syarikat kerajaan negeri Selangor, Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), yang menjalankan operasi itu, yang menyatakan sampah dan bau busuk di Sungai Klang kini berkurangan.

"Sungai Klang yang dahulunya, setengah tempat berada pada Kelas Lima, sekarang Kelas Tiga. Dalam situasi tertentu, sehingga kelas satu kalau musim hujan dan sebagainya.

"Peningkatan itu kita nampak. Saya ucapkan tahniah kepada kerajaan negeri, MBI (dan Menteri Besar (Diperbadankan)), dan LLSB atas kejayaan itu," katanya pada sidang media selepas Majlis Taklimat Kerjasama LLSB dan MBI bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Jaringan Malaysia dan Brunei, di sini, hari ini.

Beliau turut dibawa meninjau pengoperasian jentera pembersihan Sungai Klang, Interceptor, menerusi projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) di bawah LLSB.

Pada taklimat itu, Pengarah Urusan LLSB, Syaiful Azmen Nordin, menjelaskan sebanyak 86,021 tan sampah terapung dikeluarkan dari Sungai Klang, dalam tempoh 2016 hingga Mac 2023.

Syaiful Azmen berkata, pengurangan pengeluaran sampah tahunan sebanyak 63 peratus sepanjang tempoh itu, melepasi Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) Fasa 1, yang meletakkan sasaran pengurangan sebanyak 40 peratus.

"Pada 2022, projek itu menyaksikan pengeluaran 6,117 tan metrik sampah terapung sebulan berbanding garis dasar pada 2016 sebanyak 16,408 tan metrik sebulan.

"Penyelesaian pembersihan sungai SMG, termasuk tujuh pengadang sampah (log boom) berserta dua Interceptor menerusi kerjasama dengan organisasi bukan berasaskan keuntungan antarabangsa, The Ocean Cleanup," katanya.

Beliau berkata, peningkatan ketara kualiti air Sungai Klang, dipantau oleh empat Sistem Pengurusan Kualiti Air, yang ditempatkan di sepanjang Sungai Klang, daripada Kelas Lima (tercemar dan berbahaya) pada 2016 kepada Kelas Tiga (sederhana tercemar), malah Kelas Dua dan Satu pada 64 peratus hari dalam 2022.

"Keadaan air yang bertambah baik membolehkan haiwan sungai kembali, seperti memerang, buaya, burung migrasi, helang, spesies ikan, serta flora dan fauna sungai dan laut di sungai ini secara amnya, dengan ketam rebab kecil, ikan belacak dan cacing polychaeta di taman paya bakau Mangrove Point," katanya,

Beliau berkata, sungai yang kelihatan lebih bersih dan tidak lagi berbau busuk juga mampu menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan taman di tebing sungai terutamanya Taman Awam Pangkalan Batu di Klang.

Pada masa sama, katanya, tiada insiden pembuangan haram dilaporkan pada 2022 disebabkan oleh pemantauan dan peningkatan kesedaran mengenai pemuliharaan.