Trending
Nasional

Wajib sekolah menengah boleh pertingkat kualiti pendidikan, perkukuh asas keilmuan - GPMS

KUALA LUMPUR: Undang-undang disyorkan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mewajibkan persekolahan peringkat menengah, disifatkan penting untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan memperkukuhkan asas keilmuan di Malaysia.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Muhd Fazreen Ismadi Fauzi, berkata pihaknya menyokong penuh usaha KPM untuk memperkenalkan keperluan pendidikan menengah wajib di negara ini.

Dengan langkah itu, katanya, KPM sedang mengambil langkah proaktif dalam memastikan akses yang lebih luas dan menyeluruh kepada pendidikan berkualiti untuk semua pelajar.

"GPMS percaya langkah itu penting untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan memperkukuhkan asas keilmuan membabitkan golongan sasar di Malaysia.

"GPMS berpegang kepada prinsip inklusiviti dan keadilan pendidikan, di mana setiap pelajar perlu diberi peluang yang sekata untuk mendapatkan pendidikan menengah berkualiti.

"Kami berharap bahawa melalui pendidikan menengah wajib, kesenjangan pendidikan dapat dikurangkan dan peluang yang lebih baik dapat diberikan kepada semua pelajar Malaysia," katanya kepada BH.

Khamis lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, rang undang-undang (RUU) bagi mewajibkan rakyat Malaysia mendapat pendidikan sehingga ke peringkat sekolah menengah akan dibentangkan di Parlimen.

Katanya lagi, perkara itu bagaimanapun masih dalam proses dan tindakan pihak kementerian yang mungkin mengambil lebih masa, namun ia langkah serius itu dalam menangani keciciran pelajaran di samping program intervensi lain oleh KPM bagi mengatasi isu berkenaan.

Menyifatkan langkah itu wajar dilaksanakan, Muhd Fazreen Ismadi berkata, Majlis Belia Malaysia (MBM) pada Januari lalu, pernah mengusulkan kerajaan melalui KPM melaksanakan pindaan melalui Seksyen 29A (2) bagi memperluas pendidikan wajib ke peringkat menengah.

Katanya, pindaan berkenaan perlu kerana Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) telah dimansuhkan pada 2022.

"Justeru, GPMS berharap agar RUU berkenaan mendapat sokongan bipartisan di Parlimen demi kemaslahatan anak-anak kita pada masa hadapan. Pendidikan menengah kritikal dalam pembentukan generasi pelajar yang berdaya saing, kreatif dan beretika," katanya.

Katanya, GPMS akan terus mendukung dan bekerjasama dengan KPM dalam usaha meningkatkan mutu sistem pendidikan negara.