MANJUNG: "Arwah abang sangat teruja dapat naik pesawat mewah, banyak gambar dikongsikan dalam kumpulan WhatsApp keluarga kami," kata Nor Syahirah Omar.
Nor Syahirah adik kepada Komander (B) Shaharul Amir Omar, 49, pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), antara lapan individu dalam pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Elmina semalam.
Nor Syahirah, 29, berkata abang sulung daripada enam beradik itu ada memaklumkan kepada keluarga bahawa dia turut serta dalam urusan kerja Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun pada Rabu lalu.
"Arwah cukup teruja berkongsi swafoto dalam pesawat itu kerana itu pengalaman pertamanya.
"Dalam tempoh perkhidmatannya dalam TLDM, kami memang tahu arwah seorang juruterbang helikopter. Abang beritahu ini peluang pertamanya dapat merasa menaiki pesawat mewah," katanya.
Ketika ditemui di kediaman Shaharul Amir di Desa Manjung Raya di sini hari ini, Nor Syahirah memaklumkan, pagi semalam, ibu mereka, Che Ana Abdullah, 67, ada bertanya jam berapa abangnya bertolak dari Langkawi ke Subang dan arwah ada maklumkan penerbangannya jam 2 petang.
Katanya, khabar duka mengenai pesawat terhempas itu diketahu melalui berita di televisyen sebelum memaklumkan perkara itu kepada ahli keluarga lain.
Menurut Nor Syahirah, ibunya tinggal berseorangan di Felda Lubuk Merbau, Kuala Nerang, Kedah.
"Emak beritahu firasatnya mengatakan abang terbabit dalam nahas berkenaan kerana abang tidak dapat dihubungi lagi dengan panggilan telefon lagi petang semalam.
"Kami cuma tahu kemudiannya melalui video tular di media sosial, namun '50-50' kerana belum pasti sama ada betul pesawat itu membawa abang atau bukan.
"Petang semalam juga emak, isteri arwah (Suhaila Akasah, 47), abang dan kakak saya pergi ke Hospital Ampuan Rahimah, Klang sebaik berita mengesahkan nama pesawat berkenaan.
"Saya dimaklumkan, setiap waris keluarga akan dipanggil satu persatu jam 9 pagi bagi pengecaman dan taklimat. Saya juga masih menunggu keputusan semua waris terbabit sama ada bawa pulang jenazah ke tempat masing-masing atau dikebumikan dalam satu liang lahad," katanya.
Ditanya keadaan ibunya ketika ini, Nor Syahirah berkata ibunya meminta video rakaman kemalangan yang tular, namun mereka adik-beradik melarang.
"Kami tak sampai hati hendak lihat sampai habis setiap video di tempat kejadian, apatah lagi risau penerimaan emak jika melihat video terbabit," katanya.
Adik bongsu daripada enam beradik itu berkata, arwah abang sulungnya itu seorang yang bertanggungjawab kerana menjadi tulang belakang keluarga mereka selepas kematian ayah pada 2010.
Katanya, Shaharul Amir mempunyai empat anak, masing-masing berusia 12, 15 dan 17 tahun, sementara anak sulung 19 tahun adalah autisme.