Trending
Nasional

Dasar Gaji Progresif ikut acuan Ekonomi MADANI

BANGI: Dasar Gaji Progresif yang sedang dibangunkan negara ini tidak mengikut struktur negara lain, sebaliknya dihasilkan berdasarkan acuan Malaysia mengikut komponen Ekonomi MADANI.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata dasar yang digagaskan Kementerian Ekonomi itu bukan sahaja dapat meningkatkan gaji pekerja, malah memacu peningkatan sumbangan pendapatan pekerja kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang ketika ini berkisar kepada 32.4 peratus sahaja.

"Semua berperanan menghasilkan dasar yang komprehensif merangkumi pihak industri dan penggubal dasar termasuk pakar akademik serta penyelidik. Pembabitan semua pihak sedang dilaksanakan oleh kerajaan dengan harapan, dasar ini dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh.

"Kertas dasar telah diluluskan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sebelum ia dibentangkan di Parlimen pada sesi berikutnya," katanya ketika menjadi ahli panel Seminar Dasar Gaji Minimum Ke Arah Gaji Progresif dan Ekonomi MADANI di sini, hari ini.

Turut menjadi ahli panel seminar anjuran Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ialah Canselor Universiti Cyberjaya yang juga Ahli Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN), Prof Emeritus Tan Sri Anuwar Ali; Ahli MPGN, Prof Emeritus Datuk Dr Zakariah Abdul Rashid; Pengerusi Workers Institute od Empowerment Selangor (WISE), Syed Shahir Syed Mohamud; dan Penasihat Khas PSSM, Prof Emeritus Datuk Dr Abdul Rahman Embong.

Presiden PSSM, Prof Dr Sity Daud bertindak sebagai moderator.

Mei lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan sedang meneliti secara dasar sistem gaji progresif di negara ini dengan perbincangan serta proses libat urus mengenainya sudah bermula membabitkan pelbagai sektor.

Katanya, dasar atau model gaji progresif akan dibangunkan secara bersama membabitkan Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan (MOF); Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Sistem gaji progresif ialah peralihan daripada model pemberian upah minimum kepada kenaikan gaji secara berperingkat dan berfasa supaya ia setanding dengan pertumbuhan ekonomi negara.

Pada Ogos, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kabinet akan membincangkan Dasar Gaji Progresif bagi memperhalusi pelaksanaannya secara berperingkat.

Anwar berkata, ia juga bagi meneroka keperluan memperuntukkan dana sebagai insentif dasar yang akan ditentukan mengikut kedudukan kewangan kerajaan dan keperluan dasar.

Bulan lalu, Rafizi berkata, Dasar Gaji Progresif dijangka dilaksanakan pada April atau Mei tahun depan dan peruntukan kewangannya akan dimasukkan dalam Belanjawan 2024, yang akan dibentangkan Oktober ini.

Komitmen kerajaan untuk memacu pasaran buruh Malaysia turut mendapat sokongan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyokong sepenuhnya pelaksanaan Dasar Gaji Progresif yang disifatkan inisiatif terbaik dan tidak pernah lagi dilakukan oleh mana-mana kerajaan sebelum ini bagi membantu menangani masalah gaji pekerja.

Penganalisis tempatan turut menyatakan pelaksanaan Dasar Gaji Progresif adalah usaha yang amat produktif membantu Malaysia muncul negara yang berdaya saing dan mencapai status negara berpendapatan tinggi, sejajar kerangka Ekonomi MADANI.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, pelaksanaan Dasar Gaji Progresif dibuat secara kolektif ke arah pembangunan lebih baik pasaran buruh selepas Dasar Gaji Minimum dilaksanakan di negara ini.

"Dasar Gaji Minimum yang dilaksanakan negara ketika ini memberi kesan positif kepada pekerja tidak mahir, namun tidak bagi pekerja separa dan mahir. Justeru, Dasar Gaji Progresif ini perlu dan ia dijangka menyelaras gaji pekerja dengan berstruktur dan beransur-ansur.

"Dasar ini berlandaskan kemahiran dan produktiviti pekerja, di mana pampasan pekerja yang lebih adil, saksama dan inklusif.