Trending
Nasional

Penerokaan sumber REE perlu penyelidikan kukuh, pertimbangan secukupnya - Pakar

KUALA LUMPUR: Penerokaan sumber REE mesti dipandu dengan ilmu dan pengetahuan yang mantap, selain disokong dengan penyelidikan yang kukuh serta pertimbangan secukupnya terhadap keperluannya.

Pensyarah di Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ahmad Aldrie Amir, berkata penerokaan sumber REE di negeri-negeri memerlukan penyelidikan yang kukuh, belajar daripada pengalaman dalam negara dan negara-negara serantau.

Katanya, pertimbangan dan perhatian utama mesti diberi kepada keseluruhan aspek kelestarian iaitu alam sekitar, sosial dan ekonomi.

"Ketidakcekapan dalam proses penerokaan sumber REE boleh menyebabkan pencemaran melalui resapan ke dalam sistem ekologi, seterusnya ke keseluruhan ekosistem termasuk rantaian makanan yang membabitkan manusia secara langsung.

"Penerokaannya juga tidak semestinya sama dengan penerokaan sumber mineral dan logam yang lain, yang mana teknik dan risikonya mesti diteliti secara terperinci dan khusus.

"Selain itu, lokasi khususnya habitat dan ekosistem semula jadi yang wujud, serta persekitaran manusia juga mesti diambil kira." katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, BH melaporkan, kerajaan negeri kini dibenarkan membuat penerokaan awal unsur nadir bumi (REE), berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada untuk perlombongan nadir bumi dan mineral.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Industri Mineral (JKPPIM) yang berlangsung kelmarin.