KUALA LUMPUR: "Kebanyakan majikan yang menggajikan seseorang bukan kerana dia memiliki ijazah," kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Katanya, itu berdasarkan penelitian hasil pengalamannya sendiri menemuduga ribuan graduan yang tersenarai dalam kategori terbaik beberapa tahun lalu.
Menurutnya, tiada masalah dengan penawaran pekerjaan bahkan ia bukan isu mutlak kerana berdasarkan data statistik makro di Malaysia menunjukkan perkara itu adalah sihat.
Dengan terlalu bergantung pada sijil akademik semata-mata sama, Rafizi berkata mereka berdepan kesukaran sepadankan kelayakan dengan kriteria pekerjaan ditawarkan dalam pasaran kerana ketiadaan bakat dan kemahiran seperti dikehendaki.
"Di Malaysia, kita terbiasa dengan barisan pengeluaran iaitu pemerolehan bakat seperti kita pergi ke sekolah, kita ada model tunggal, jika anda lakukan terbaik anda akan peroleh biasiswa.
"Jika anda ke universiti dan jika ambil kursus kejuruteraan, anda akan bayangkan anda akan menjadi jurutera selama 20 atau 30 tahun.
"Kesnya berbeza sekarang. Saya pernah menemuduga graduan muda kelas atas lima enam tahun lalu. Berdasarkan beberapa penelitian yang saya nak kongsikan terutama berkenaan bakat muda, pertama, kebanyakan masa majikan menggajikan anda bukan sebab ijazah yang anda ada.
"Ijazah hanya membutikan anda mempunyai otak. Jadi seseorang yang digajikan itu mempunyai beberapa sifat yang majikan mereka lihat boleh berdikari, nampak inisiatif mereka dan melihat keseimbangan yang ada," katanya.
Rafizi berkata demikian ketika menjadi panel Forum Tenaga Kerja Awam Antarabangsa (IPEF) 2023 anjuran Pertubuhan Kesihatan Sosial (PERKESO) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Panel lain yang turut diundang adalah Ketua Pengarah Pusat Penyelidikan dan Latihan Ekonomi serta Statistik untuk Negara Islam, Zehra Zumrut Selcuk serta Pengarah Pusat Kajian Kesejahteraan Sosial, Prof Datuk Dr Norma Mansor.
Dalam pada itu, Norma berkata isu ketidakpadanan bakat dengan pasaran pekerjaan semasa berkait rapat dengan struktur ekonomi negara yang tidak inovatif selain kekurangan penawaran pekerjaan bernilai tinggi.
Katanya, kerajaan perlu memainkan peranan dengan menarik lebih banyak pelaburan atau industri berimpak tinggi supaya boleh memberi manfaat kepada bakat tempatan.
"Langkah untuk membawa masuk syarikat atau industri berimpak tinggi ke Malaysia amat perlu supaya orang kita boleh terbabit dalam ekonomi berkaitan," katanya