Trending
Nasional

Lembaga PDC tamatkan perjanjian usaha sama dengan UMECH Land

GEORGETOWN: Lembaga Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) akhirnya memutuskan menamatkan perjanjian usaha sama dengan pihak UMECH Land Sdn Bhd (UMECH Land) susulan penjualan tanah di Byram, Batu Kawan yang hangat diperkatakan, sejak awal bulan ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata perjanjian usaha sama dengan UMECH Land ditamatkan berdasarkan klausa 19 Perjanjian Usahasama PDC–UMECH Land dengan memberikan notis tiga bulan.

"Lembaga PDC telah meneliti kes UMECH Land dan mendapati proses pemilihan syarikat itu termasuk penetapan sumbangan tunai, jadual bayaran kepada PDC adalah telus dan selaras dasar PDC.

"Lembaga PDC juga mengambil maklum kolaborasi ini adalah munasabah dan memberi impak positif kepada aliran tunai PDC termasuk daripada aspek komersial dan faedah kepada pembangunan negeri Pulau Pinang.

"Bagaimanapun, majoriti struktur ekuiti syarikat UMECH Land sehingga berlaku perubahan pihak yang mengawal dan menerajui projek yang dilaksanakan tanpa memaklumkan dan mendapat kelulusan PDC secara rasmi adalah satu isu yang dipandang serius dan tidak boleh diterima oleh Lembaga PDC," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Kon Yeow berkata, PDC diarahkan untuk mengiklan secara meluas melalui permohonan cadangan (RFP) untuk kolaborasi bersama pihak PDC memajukan Kawasan Perindustrian 2 Batu Kawan (BKIP2) selepas penamatan kontrak berkenaan.

"RFP ini akan diiklankan oleh PDC dalam masa terdekat dengan menggunakan pelbagai saluran media massa bagi menarik pelabur yang berminat," katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan bekas Timbalan Ketua Menteri 2, Dr P Ramasamy menggesa kerajaan negeri membatalkan penjualan tanah milik PDC di Byram yang terletak di kawasan Seberang Perai Selatan kepada sebuah syarikat pembinaan swasta.

Ramasamy mendakwa penjualan tanah PDC seluas 226.2 hektar (559 ekar) berharga lebih RM646 juta itu ibarat telah 'membuka sebuah kotak Pandora' atau menyebabkan berlaku pelbagai masalah yang tidak pernah terjadi sebelum ini.

Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang turut mendakwa satu pemaju hartanah sudah mengambil alih UMECH Land dan bertindak menawarkan sewaan untuk beberapa bahagian tanah itu dengan kadar tinggi.