Trending
Nasional

Anwar hargai bantuan negara luar bawa Nurul Ain keluar dari Gaza

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai bantuan beberapa negara luar dalam proses membawa keluar Nurul Ain Haron, rakyat Malaysia yang terkandas di Gaza.

Perdana Menteri turut sempat meluangkan masa bercakap dengan wanita berusia 37 tahun itu melalui panggilan video, pagi tadi.

Panggilan video itu dibuat selepas Nurul Ain dan suaminya, Mohamed A M Shaat, seorang warga Palestin berjaya dibawa keluar awal pagi tadi di sempadan Rafah.

"Alhamdulillah pada awal pagi ini, saya berkesempatan melangsungkan panggilan video dengan Nurul Ain, rakyat kita yang terkandas di Gaza sejak perang antara Palestin dan Israel lebih sebulan yang lalu.

"Saya juga ingin merakamkan rasa terima kasih kerajaan Malaysia kepada beberapa negara lain yang tidak ketinggalan menghulurkan apa juga bantuan dalam proses membawa keluar rakyat Malaysia ini," katanya melalui kenyataan, di media sosial, hari ini.

Pada mada sama, Anwar berkata, melalui perbualan mereka itu, Nurul Ain dan suaminya menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kerajaan Malaysia yang sedaya upaya memastikan mereka selamat dibawa keluar dari Gaza.

"Mereka turut merakamkan rasa terima kasih kepada kakitangan Kedutaan Malaysia yang tidak berputus asa dalam memastikan proses membawa mereka keluar dari zon perang dapat dilakukan," katanya.

Terdahulu, Wisma Putra menerusi kenyataan memaklumkan Nurul Ain yang terkandas di Khan Yunis, Gaza sejak 7 Oktober lalu, selamat dibawa keluar dari wilayah bergolak itu, hari ini.

Mereka dibawa keluar melalui Lintasan Sempadan Rafah pada jam 2.33 pagi tadi.

Ketibaan beliau dan suami di Lintasan Sempadan Rafah dimudahcara oleh Duta Besar Malaysia ke Kaherah bersama pegawai kedutaan yang lain.

Menurut Wisma Putra, tindakan evakuasi itu dapat dilaksanakan dengan berkesan berikutan pertemuan di antara Anwar dan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, ketika lawatan kerjanya ke negara berkenaan pada 23 Oktober lalu.

Nurul Ain dilaporkan ke Gaza mengikut suaminya pada 1 Oktober lalu selepas enam tahun berkahwin.

Lebih pilu apabila wanita berasal dari Keramat, di sini, menyambut ulang tahun kelahiran dengan letupan bom pada 11 Oktober lalu.