TUMPAT: Seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Bharu dekat sini menghadiahkan pakej umrah kepada pelajar Tingkatan Dua sempena hari persaraannya sebagai pendidik pada Khamis.
Pakej umrah yang ditawarkan Ahmad Zaki, 60, itu diterima oleh Mohd Daniel Hakim Faiz Teng, 14, yang juga pelajar Tingkatan Dua menerusi cabutan bertuah yang dibuat di hadapan lebih 1,000 pelajar serta guru di dewan sekolah terbabit.
Sambil mengalirkan air mata, Mohd Daniel Hakim turut memeluk guru subjek Pendidikan Islam dan Bahasa Arab itu ketika menaiki pentas menerima replika hadiah terbabit.
Sambil mengucapkan syukur, anak sulung dari dua beradik itu berkata, walaupun usia masih muda, dia ada juga menyimpan impian untuk menjejakkan kaki ke tanah suci untuk menunaikan umrah.
"Ketika nombor (cabutan bertuah) diumumkan, saya sangat terperanjat dan teragak-agak untuk bangun kerana rasa macam mimpi.
"Selepas sekali lagi diumumkan barulah saya bangun dan berjalan ke arah pentas untuk menerima hadiah yang sangat bermakna itu.
"Pakej umrah yang saya terima ini akan saya kenang hingga akhir hayat kerana ada juga menyimpan angan-angan untuk ke Makkah dan Madinah tapi agak mustahil kerana masih bersekolah dan keluarga juga bukan orang senang," katanya ketika ditemui di sini, hari ini
Mohd Daniel Hakim dari Kampung Padang Rokma, di sini berkata, tidak sangka impiannya itu dimakbulkan Allah dalam usia yang masih muda dan akan berkongsi kegembiraan dengan ibunya yang juga seorang ibu tunggal serta berstatus orang kurang upaya (OKU).
Sementara itu, Ahmad Zaki berkata, beliau tergerak hati untuk menghadiahkan pelajarnya pakej umrah adalah bagi memberi kenangan sepanjang hayat sempena persaraannya.
Beliau yang sudah 31 tahun bergelar pendidik berkata, hasratnya itu tercetus selepas pulang dari umrah baru-baru ini dan terfikir untuk memberi satu hadiah yang bermakna namun dalam masa yang sama tidak memberitahu sesiapapun sehinggalah beberapa hari sebelum persaraannya.
"Alhamdulillah, hasrat saya itu mendapat sokongan dari pihak sekolah termasuk keluarga dan tahniah kepada pelajar yang saya anggap insan terpilih menerima cabutan bertuah ini.
"Insya-Allah pelajar berkenaan akan pergi umrah bersama saya pada Disember ini dan tajaan berkenaan merangkumi pakej penuh malah saya juga akan memberikan sedikit wang saku untuk perbelanjaannya di sana nanti," katanya yang menetap di Kampung Delima, Wakaf Bharu.