KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan memasukkan menu bak kut teh dalam senarai makanan warisan negara tidak wajar dipertikaikan, bahkan ia disifatkan membawa banyak kelebihan terutama dalam menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia.
Sehubungan itu, Teresa Kok (PH-Seputeh), berkata reaksi banyak pihak yang mengkritik tindakan kerajaan menyenaraikan bak kut teh adalah tidak berasas.
"Bak kut teh dicipta warga Cina di Malaysia. Kalau kita tidak buat tuntutan bahawa ia dicipta (warga Malaysia), negara jiran kita akan buat tuntutan sama. Jadi pelancong tak sedar, bak kut teh ini asalnya dari Klang.
"Pada pandangan saya, tujuan kita untuk masukkan makanan tertentu dalam senarai makan warisan, termasuk bak kut teh adalah untuk tarik pelancong asing melawat Malaysia, khususnya dari Asia Timur seperti China, Hong Kong, Jepun, Korea dan Taiwan," katanya ketika sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini
Memperincikan pandangannya, Kok berkata, mengikut perangkaan terkini dikeluarkan Presiden Persatuan Pelancongan Cina Malaysia, lebih 100,000 pelancong China melawat Malaysia bermula 5 Februari tahun ini iaitu menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.
"Lebih 5,000 kumpulan pelancong China yang berada di Malaysia dalam tempoh terbabit dan mereka membelanjakan lebih RM1 bilion hingga RM1.5 bilion di negara kita.
"Malah, kita sendiri sedar Malaysia perlu bersaing untuk tarik pelancong China, terutama (bersaing) dengan negara lain di Asia Tenggara," katanya.
Pada 24 Februari lalu, Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara, Mohamad Muda Bahadin, memaklumkan 10 makanan diwartakan sebagai objek warisan melalui kuasa diberikan kepadanya oleh subseksyen 49(1) Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645].
Selain bak kut teh yang juga makanan tradisional masyarakat Cina, makanan lain yang turut tersenarai adalah burasak, mi kolok, nasi ambeng, dodol kukus tahi minyak, kuih genggang atau lapis, karas, uthappam, jeruk tuhau dan air katira.
Kok ketika perbahasan turut membangkitkan tindakan PAS pada 2018, ketika kempen sempena satu pilihan raya kecil (PRK) yang turut memperkenalkan halal bak kut teh.
"Saya ingin puji PAS melalui bekas Ketua Penerangan Dewan Penerangan PAS Pusat, Dr Najihatussalehah Ahmad yang pernah perkenalkan bak kut teh halal dinamakan 'lamb kut teh' dan 'chick kut teh' yang menggunakan daging kambing dan daging ayam.
"Ia dilancarkan bersempena PRK, enam tahun lalu. Jadi saya harap pihak lain termasuk Ahli Parlimen Temerloh (Salamiah Mohd Nor) yang lantang mengkritik apabila ia disenaraikan sebagai makanan warisan negara untuk belajar daripada PAS dan promosikan bak kut teh untuk pupuk perpaduan nasional," katanya.
Isu Bak kut teh turut disentuh Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) semasa sesi perbahasan titah diraja dengan mempersoalkan mengapa ia dijadikan konflik dan mahu dipolitikkan dalam negara ini.
"Kalau guna daging babi, jadi tak halal, jadi haram. Gunalah daging yang boleh kita makan. Daging kambing boleh, daging lembu boleh, daging ayam boleh, daging itik boleh, daging angsa boleh.
"Apa yang menjadi masalahnya.... ini yang kita nak jadikan konflik dalam negara kita, sedangkan ada banyak makanan lain. Dodol pun jadi makanan warisan. Mi kolok dijadikan sebagai makanan warisan.
"Semua benda dalam negara kita ini nak dipolitikkan. Ini jadi masalah dalam negara kita," katanya.