KUALA LUMPUR: Yayasan Bank Rakyat (YBR) meraikan 200 graduan ijazah sarjana muda dan sarjana dari institusi pengajian tinggi (IPT) pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik, di sini, hari ini.
Semua graduan berkenaan adalah mereka yang menerima anugerah kecemerlangan membabitkan pencapaian Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.5 ke atas.
Majlis itu juga adalah tahun keenam penganjuran, selepas ia bermula dengan 25 graduan menerima anugerah berkenaan pada 2018.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata inisiatif sedemikian akan mendorong anak-anak muda untuk mencapai tahap pendidikan yang cemerlang, sekali gus membina masa depan yang cemerlang.
Beliau berkata, anugerah itu juga membuka mata masyarakat terhadap bantuan pendidikan bawah YBR yang mampu memberi suntikan semangat kepada pelajar untuk berjaya pada peringkat pengajian tinggi.
"YBR sentiasa memberikan komitmen yang berterusan dan tidak berbelah bahagi dalam membantu mereka yang memerlukan, serta gigih meningkatkan martabat pendidikan di negara ini.
"Kepada penerima anugerah hari ini, anda bukan saja membanggakan ibu bapa tetapi juga bakal tampil sebagai warganegara berkualiti yang diperlukan negara, malah menjadi sebahagian daripada pembangunan masyarakat serta tadbir urus yang baik, usahawan, tokoh korporat serta tokoh koperasi yang berjaya," katanya ketika berucap pada majlis itu.
Yang turut hadir ialah Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang; Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR yang juga Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; dan Pengerusi Bank Rakyat yang juga Ahli Lembaga Pengarah YBR, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak.
Mengulas lanjut, Ewon turut mencadangkan Bank Rakyat mempertingkat dana kepada YBR dalam usaha meningkatkan sumbangan kepada pelajar yang perlu dibantu.
"Hari ini, masih ramai pelajar yang sukar meneruskan pengajian, masih ada yang panjat pokok untuk mendapatkan talian Internet hanya untuk menghantar tugasan. Begitu juga keluarga yang terkesan dengan sara hidup yang tinggi.
"Jadi, saya berharap perkara ini dibincangkan dalam Mesyuarat Agung YBR nanti agar lebih ramai anak muda naik ke pentas ini dan masuk belajar di IPT," katanya.
Sementara itu, Philip berkata, pemberian ganjaran wang tunai RM1,000 adalah sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang menunjukkan pencapaian membanggakan sepanjang tempoh pengajian.
"Anugerah Kecemerlangan Akademik ini adalah salah satu usaha YBR bagi menghargai dan memberi inspirasi kepada pelajar untuk mencapai keputusan akademik yang terbaik, serta menyokong agenda pendidikan negara dalam melahirkan modal insan mahir.
"Seramai 187 graduan peringkat ijazah sarjana muda dan 13 graduan ijazah sarjana tersenarai menerima anugerah ini yang diharapkan dapat memberi dorongan serta memotivasikan graduan untuk lebih berjaya serta membantu dalam industri pekerjaan," katanya.
Jumlah keseluruhan anugerah itu memperuntukkan nilai wang tunai berjumlah RM200,000 serta sijil penghargaan kepada graduan yang tamat pengajian bermula Julai 2023.
Pada majlis itu, YBR turut menyerahkan sejumlah 25 komputer riba kepada 25 pelajar cemerlang matrikulasi tajaan YBR daripada golongan B40 yang melanjutkan pengajian di IPT.
Ia adalah hasil kerjasama dengan Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan (BMKPM) yang bermula sejak tahun lalu, sebagai suntikan semangat untuk terus belajar.
YBR turut memperuntukkan biasiswa kepada 25 pelajar matrikulasi setiap tahun, membabitkan elaun sara diri, elaun buku, komputer riba dan Bantuan Awal Pengajian (BAP).