SUNGAI BULOH: Allahyarhamah, Nur Farah Kartini, 25, adalah anak bongsu dan seorang yang amat bertanggungjawab, kata kakak ipar Allahyarhamah, Nor Amidah Mohd Ali, 36, yang jelas terkejut dengan kejadian tragis yang menimpa mangsa.
"Dia seorang sahaja anak perempuan dalam keluarganya dan dia seorang yang sangat bertanggungjawab.
"Selepas tamat pengajian tahun lalu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dia nekad bekerja sambilan di Semenanjung untuk membantu ibu dan neneknya di kampung," katanya ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh, hari ini.
Menurutnya, kerana Allahyarhamah merupakan satu-satunya adik perempuan dan merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik justeru hubungan mereka kekal rapat walaupun dia sudah berpisah dengan abang mangsa.
Nor Amidah berkata, kali terakhir mereka berhubung adalah pada 5 Jun lalu di mana ketika itu Allahyarhamah memaklumkan bahawa dompetnya tercicir.