KUALA LUMPUR: Pemaju, kontraktor utama dan subkontraktor perumahan digesa memberi keutamaan kepada graduan aliran pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) pembinaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sudah sampai masanya kebergantungan negara kepada pekerja asing diambil alih oleh pekerja mahir tempatan.
Katanya, kerajaan akan mendukung usaha pengambilan graduan TVET terutamanya dari Akademi Binaan Malaysia (ABM).
"Ia bagi memastikan supaya kualiti pembinaan di negara ini ditingkatkan dan tidak hanya disumbangkan oleh ramai pekerja asing.
"Kita mahu melihat bahawa 100 peratus sektor pembinaan ini dijana oleh tenaga tempatan ," katanya berucap pada Majlis Pelancaran Slogan CIDB Peneraju TVET Pembinaan Bersempena dengan Majlis Graduasi Akademi Binaan Malaysia (ABM) & CIDB Technologies bagi Wilayah Tengah di sini, hari ini.
Yang turut hadir Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Ahmad Zahid turut mengingatkan supaya kontraktor utama dan sub-kontraktor tidak memilih bulu dalam mencari pekerja sektor pembinaan.
"Ya, kos mungkin kurang kalau pekerja asing diambil secara jangka pendek. Tapi secara jangka panjang, kos yang ditanggung oleh negara dan kos kepada Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan merugikan negara," katanya.
Tambahnya, beliau mahu graduan ABM diberikan pengiktirafan lebih tinggi daripada sijil.
Katanya, pendidikan TVET kini mempunyai tahap kebolehpasaran yang tinggi.
"Secara purata yang mempunyai pekerjaan adalah sebanyak 94.5 peratus. Ertinya setiap 100 pelajar TVET hampir 95 mendapat pekerjaan atau mendapat tawaran pekerjaan sebelum tamat kursus," katanya.
Sementara itu, Alexander berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) sudah mengenalpasti keperluan fasiliti dan infrastruktur pusat latihan dengan mengambil kira unjuran pelatih berkemahiran selaras dengan Dasar TVET Negara 2030.
Katanya, peruntukan tambahan diperlukan untuk menaiktaraf infrastruktur dan fasiliti di pusat latihan sedia ada supaya kemudahan ditawarkan memenuhi keperluan pembelajaran dan piawaian antarabangsa.
"Kementerian berharap kerajaan dapat mempertimbangkan peruntukan tambahan untuk membina ABM di Sabah dan Selangor selain menaiktaraf pusat latihan sedia ada," katanya.