KUALA LUMPUR: Yayasan Bank Rakyat (YBR) hari ini memberikan bantuan cermin mata kepada 186 murid dalam kalangan keluarga B40.
YBR turut membantu 92 mahasiswa dengan menyalurkan sumbangan wang tunai bantuan awal pengajian untuk membantu meringankan beban menyambung pengajian.
Majlis Penyerahan Bantuan Cermin Mata dan Bantuan Awal Pengajian YBR itu diadakan di Dewan Seri Cempaka, Bangi dan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan.
Syahredzan yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR berkata, bantuan cermin mata dan pemeriksaan mata secara percuma itu adalah sebahagian inisiatif yayasan dalam meningkatkan tahap pendidikan murid yang memerlukan bantuan alat penglihatan terutama golongan yang tidak berkemampuan.
"Saya amat berterima kasih kepada pengurusan YBR kerana inisiatif ini dapat mengurangkan beban kewangan keluarga melalui penjagaan kesihatan mata murid.
"Sememangnya cermin mata amat diperlukan kepada murid yang terkesan dengan masalah penglihatan bagi membolehkan mereka untuk menuntut ilmu," katanya.
Majlis itu turut dihadiri Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd Rahman serta Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Bantuan cermin mata oleh YBR itu memanfaatkan murid dari Sekolah Kebangsaan Kajang, Sekolah Kebangsaan Jalan Semenyih, Sekolah Menengah Kebangsaan Kajang Utama, Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat, Sekolah Menengah Kebangsaan Convent (M) Kajang, Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Reko dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Tiga.
Mengulas sumbangan kepada mahasiswa, Syahredzan berkata ia membabitkan peruntukan sebanyak RM46,000 bagi membantu mahasiswa melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sekali gus dapat mengurangkan kos pelajar dalam memulakan sesi baharu pengajian.
"Objektif bantuan ini adalah bagi menyediakan bantuan kewangan kepada penerima yang layak sebagai permulaan memulakan semester atau menyediakan peralatan pengajian yang diperlukan untuk meneruskan pengajian membabitkan kumpulan pelajar dalam kalangan asnaf dan keluarga B40.
"Bantuan tunai yang diberikan ini sebagai usaha kita dalam menyediakan pelajar dan golongan muda akses pendidikan yang berkualiti dan diharapkan memberi semangat kepada pelajar di luar sana untuk meneruskan pengajian ke peringkat tertinggi dan seterusnya meningkatkan pembangunan modal insan negara," katanya.
Hingga Ogos ini, seramai 407 pelajar menerima manfaat melalui bantuan awal pengajian YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM272,100 di seluruh negara.