Trending
Nasional

600,000 pekerja perlu belajar kemahiran baharu, imbangi kemajuan AI

KUALA LUMPUR: Kerajaan wajar memperkukuhkan usaha melindungi pekerja terlebih dulu dalam tempoh peralihan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) di negara ini melalui latihan dan pendidikan berterusan.

Ia susulan kira-kira 600,000 pekerja dikenal pasti memerlukan pemahiran semula dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang kesan perkembangan AI, digitalisasi dan ekonomi hijau.

Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani, berkata perkara itu penting bagi memastikan pekerja yang terkesan dapat diberi peluang mempelajari kemahiran baharu yang relevan dengan keperluan sektor sedang berkembang, terutama dalam bidang teknologi dan tenaga hijau.

"Keselamatan pekerjaan dan sokongan kewangan juga menjdi aspek yang perlu diberi perhatian.

"Pekerja yang sedang melalui proses pemahiran semula perlu dilindungi daripada pembuangan kerja yang mendadak atau mengejut," katanya kepada BH, hari ini.

Terdahulu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, semua mereka yang dikenal pasti ialah pekerja dalam 10 sektor strategik terhadap ekonomi negara menerusi fasa pertama Kajian Impak AI, Digitalisasi dan Ekonomi Hijau Terhadap Pasaran Kerja yang dilaksanakan kementeriannya, Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) serta pihak industri.

Beliau berkata, 10 sektor berkenaan ialah teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perkhidmatan perniagaan global, pembuatan farmaseutikal, pembuatan dan perkhidmatan makanan, elektrik dan elektronik, aeroangkasa, perniagaan borong dan runcit, peranti perubatan serta tenaga dan kuasa.

Mengulas lanjut, Effendy berkata, golongan pekerja juga perlu mendapat faedah daripada perubahan teknologi berkenaan.

"Keuntungan daripada peningkatan produktiviti hasil AI dan digitalisasi perlu disalurkan kepada pekerja dalam bentuk gaji yang lebih tinggi serta peningkatan faedah.

"Kerjasama antara kesatuan sekerja, kerajaan dan majikan sangat penting dalam menyusun strategi yang memastikan perubahan berkenaan berlaku secara adil dan menyeluruh, selain menyediakan dasar yang menjamin hak pekerja sambil menggalakkan inovasi teknologi dalam industri serta menyediakan pekerja berkemahiran," katanya.

Beliau berkata, golongan pekerja muda dan mereka yang berada di awal kerjaya perlu didedahkan kepada perkembangan berkenaan supaya lebih bersedia menghadapi pasaran kerja yang semakin dipengaruhi teknologi baharu.

"Ia isyarat penting bahawa pemahiran semula dan peningkatan kemahiran perlu dijadikan agenda utama, bukan saja oleh kerajaan tetapi juga majikan dan pekerja itu sendiri.

"Proses itu penting dan perlu dilakukan berterusan untuk memastikan pekerja dapat menyesuaikan diri dengan perubahan dalam sektor pekerjaan dan teknologi," katanya.

Katanya, AI mungkin mampu menggantikan tugas rutin, tetapi peranan yang memerlukan kreativiti, analisis kritis dan empati manusia tidak boleh sepenuhnya diambil alih oleh teknologi.

Related Article