NILAI: Yayasan RI (Rizalman Ibrahim) melalui Dar Al Qari Resources menyumbang dana RM3.9 juta untuk manfaat orang kurang upaya (OKU) khususnya komuniti OKU pekak.
Yayasan diasaskan Datuk Rizalman Ibrahim itu menyuntik dana bagi menjayakan Projek Terjemahan IshaRI melalui Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USIM, Prof Dr Nik Salida Suhaila Nik Salleh, berkata projek itu secara tidak langsung membantu penyelidik UMMI USIM melengkapkan terjemahan versi Bahasa Isyarat Malaysia (BIM).
Katanya, mereka sebelum ini hanya berupaya menyiapkan terjemahan juzuk Amma dan beberapa surah pilihan versi BIM.
"Projek bermula November lalu ini akan berjalan selama enam tahun hingga Oktober 2030. USIM berbesar hati menubuhkan Kursi Kecemerlangan dalam Pemerkasaan Pendidikan Quran bagi komuniti OKU pendengaran diberi nama Kursi Dato' Hj Rizalman Hj Ibrahim.
"Kursi ini turut menyasarkan aktiviti syarahan umum dan pembangunan aplikasi dan portal Quran IshaRI lengkap 30 juzuk (tilawah dan terjemahan)," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata, penubuhan kursi itu adalah inisiatif USIM dalam rangka usaha bagi mendalami pembelajaran al-Quran yang inklusif kepada komuniti OKU pendengaran yang selama ini seakan tercicir dalam mempelajari kitab suci itu.
Jelasnya, usaha berkenaan bagi meraikan potensi mereka, iaitu tilawah secara visual menggunakan isyarat Kod Tangan Quran dan terjemahan berbantukan BIM.
"Kursi Kecemerlangan ini merangkumi pelbagai skop kerjasama, antaranya syarahan umum dan pembangunan terjemahan Quran IshaRI.
"Selain itu, pihak Yayasan RI melalui Dar Al Qari Resources turut berhasrat mendapatkan khidmat UMMI untuk projek MusafiRI, iaitu program umrah bersama OKU dan projek outreach khidmat al-Quran bagi OKU," katanya.