Trending
Pendidikan

Guru Malaysia paling komited

KUALA LUMPUR: Bancian Pendidikan Global oleh University of Cambridge mendapati guru di negara ini antara paling berdedikasi di dunia dalam memastikan pelajar mencapai kecemerlangan, selain paling menyukai pekerjaan mereka.

Sebanyak 70 peratus guru yang menyertai banci itu percaya tugas mendidik mempunyai ganjaran tersendiri.

Bancian oleh Cambridge Assessment International Education (Cambridge International) itu juga mendapati tiga daripada empat guru di negara ini mengadakan kelas tambahan untuk membantu murid mereka mencapai keputusan terbaik dalam peperiksaan.

Laporan bancian berkenaan yang dipetik menerusi laman web https://www.cambridgeinternational.org, menunjukkan latih-tubi menerusi soalan peperiksaan lalu ialah kaedah yang paling popular dalam kalangan guru di Malaysia untuk membantu pencapaian akademik pelajar.

Bancian itu melihat pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) dalam kalangan pelajar berusia di antara 12 hingga 19 tahun dan guru di 10 negara iaitu Malaysia, Argentina, China, India, Indonesia, Pakistan, Arab Saudi, Sepanyol, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat.

Sebanyak 477 pelajar dan 634 guru Malaysia terbabit dalam bancian itu.

Secara keseluruhannya, Bancian Pendidikan Global mendapatkan pandangan hampir 20,000 guru dan pelajar seluruh dunia mengenai pelbagai topik mencakupi amalan kelas terbaik dan PdPc.

Selain itu, penggunaan teknologi dalam PdPc, aspirasi pelajar dan motivasi guru yang mendapati semua faktor itu diamalkan pendidik di Malaysia.

Penyelidikan dijalankan kumpulan itu sebahagian daripada program dilaksanakan University of Cambridge untuk menilai guru dan pelajar di seluruh dunia.

Pengerusi Rantau Asia Tenggara dan Pasifik, Cambridge Assessment International Education, Dr Ben Schmidt, berkata kajian itu penting untuk membantu hampir sejuta pelajar di seluruh dunia yang mengikuti program University of Cambridge pada masa depan.