Trending
Pendidikan

FiTA WAVE wajar dijadikan acara tahunan

SHAH ALAM: Anugerah Filem Pendek Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) Wave anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) wajar dijadikan acara tahunan.

Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan, Datin Paduka Dr Siti Hamisah Tapsir, berkata FiTA WAVE 2019 yang diadakan julung kalinya tahun ini adalah pentas terbaik bagi pelajar peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) dan sekolah menengah.

“FITA mempamerkan 200 karya kreatif daripada pelbagai peringkat. Walaupun ia adalah sebahagian daripada kerja khusus pelajar, saya boleh katakan ia melebihi jangkaan saya.

“Hasil karya peserta juga kelihatan seperti profesional, terutama bagi kategori sekolah menengah. Cuma kita perlu sediakan pentas untuk mereka ketengahkan bakat serta kreativiti yang mereka ada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Anugerah Filem Pendek FiTA WAVE 2019, di Dewan Agong Tuanku Canselor, UiTM di sini, semalam.

Hadir sama, Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Dr Mohd Azraai Kassim dan Ketua Pengarah Eksekutif Perbadanan Filem Nasional (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Sementara itu, Ahmad Idham berkata pemenang FiTA WAVE 2019 akan dipilih untuk menyertai program inkubator FINAS, khusus untuk memberi peluang kepada bakal pembuat filem masa hadapan.

“Bila ada anugerah filem pendek seperti ini, kami berfikir kenapa tidak beri peluang kepada pemenang untuk menyertai program inkubator FINAS.

“Berapa banyak geran serta nilainya kita masih belum boleh umumkan kerana kita akan memilih mengikut karya yang dihasilkan. Mungkin satu atau lebih geran akan diberikan,” katanya.

FiTA WAVE 2019 mempertandingkan empat kategori iaitu IPT, sekolah menengah, terbuka dan filem pendek pilihan popular.

Kategoti IPT dimenangi Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) menerusi karya Lukisan Jalanan’, manakala Sekolah Menengah Khir Johari, Kedah mengungguli kategori sekolah menengah dengan karya Kertas Renyuk’.

Filem pendek ‘Sisa Binasa’ pula memenangi kategori terbuka. Pemenang ketiga-tiga kategori itu masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.

Kategori pilihan popular dimenangi Sekolah Menengah Seksyen 18, Shah Alam menerusi karya `Yol’, yang membawa pulang wang tunai RM5,000.

FiTA WAVE 2019 dianjurkan FiTA UiTM dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan, Yayasan Hasanah, FINAS dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).