Trending
Pendidikan

Komunikasi bantu tangani krisis di IPT

KUALA LUMPUR: Pandemik COVID-19 mempercepat usaha institusi pendidikan tinggi (IPT) meningkatkan kemahiran komunikasi risiko dan krisis bagi memastikan kelestarian institusi.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata kelangsungan IPT bergantung kepada penguasaan komunikasi bagi menangani risiko dan krisis.

Beliau berkata, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020, semua IPT diarah menangguhkan operasi pentadbiran dan aktiviti akademik.

Katanya, cabaran itu meletakkan IPT dalam suasana yang tidak menentu, berdepan situasi rumit dan berada dalam kekaburan.

"Perkembangan ini menuntut IPT sentiasa bersiap-siaga menguruskan risiko yang dihadapi melalui kepimpinan proaktif dan perancangan strategik yang mantap.

"Bercakap tentang komunikasi risiko ketika krisis ini, mengingatkan saya tragedi taufan Katrina yang melanda Louisiana–Mississippi pada 29 Ogos 2005 yang menunjukkan kepincangan dalam koordinasi usaha pemindahan, penyelamatan dan penyaluran bantuan.

"Antara punca yang dikenal pasti berlakunya situasi ini ialah wujudnya jurang maklumat dan kegagalan untuk bertindak pantas kerana maklumat yang tidak lengkap," katanya.

Noraini berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran Modul Komunikasi Risko dan Krisis untuk Kesihatan Awam dan Ketahanan Institusi 'Modul Panduan untuk Institusi Pendidikan Tinggi' secara maya.

Modul itu dibangunkan berdasarkan hasil dapatan kajian dilaksanakan di bawah geran penyelidikan bagi Komunikasi Risiko untuk Kesihatan Awam, yang dibiayai oleh Malaysia One Health University Network (MyOHUN) COVID-19 Supplementary Fund.

Pembangunan modul itu dijayakan oleh kumpulan penyelidik UPM yang diketuai oleh Prof Dr Azmawani Abd Rahman dan ahli, iaitu Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, Prof Dr Mohamed Thariq Hameed Sultan dan Prof Madya Dr Mohd Rafee Baharudin.

Projek penyelidikan itu turut disokong United States Agency for International Development (USAID) One Health Workforce Next Generation (OHW-NG) Project.

Proses pengumpulan maklumat kajian membabitkan penyertaan universiti awam, institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS), politeknik dan kolej komuniti.

Modul berkenaan turut dihasilkan dengan berpandukan buku 'Risk and Crisis Communication for Public Health and Institutional Resilience: Insights from Higher Learning Institutions' yang akan diterbitkan oleh Penerbit Universiti Putra Malaysia.

Noraini berkata, pelancaran modul berkenaan tepat pada masanya, lebih-lebih lagi IPT akan dibuka kembali dalam beberapa hari lagi.

Katanya, ini juga menyokong pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 – 2025 (Pendidikan Tinggi) di bawah Lonjakan Keenam: Pemantapan Tadbir Urus dan Lonjakan Kesepuluh: Transformasi Penyampaian Pendidikan Tinggi yang memberikan penekanan kepada aspek inovasi atau pembaharuan dalam tadbir urus dan sistem operasi IPT.