Trending
Pendidikan

Kerjasama indahkan landskap ceriakan sekolah

Jempol: Kerjasama erat antara Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Lui Muda dengan barisan guru di situ menyaksikan program membersihkan dan mencantikkan bangunan sekolah berkenaan menjadi nyata.

Malah, usaha berkenaan yang dibuat sejak Februari tahun lalu turut menyaksikan barangan terpakai disumbangkan untuk dikitar semula bagi memperindahkan landskap.

Guru Besarnya, Mohd Riduan Zakarea, berkata pihaknya dan kepimpinan PIBG sepakat mahu menceriakan lagi persekitaran sekolah dengan pelbagai elemen menarik bagi membolehkan murid belajar dengan selesa.

"Selain menerima barangan kitar semula yang diterima daripada ibu bapa, murid juga orang perseorangan, PIBG serta guru juga masing-masing menyumbang wang ringgit.

"Kita turut mengadakan perbincangan bagaimana mahu menghias kawasan persekitaran ini. Banyak tenaga dan wang ringgit dikeluarkan bagi tujuan ini dan kami tidak kisah kerana yang mendapat manfaat adalah warga sekolah malah landskap sekolah yang cantik adalah terapi minda guru dan murid," katanya.

Tambahnya, bangunan sekolah itu dicat dengan warna merah jambu atas kehendak sebahagian besar murid dan dipersetujui guru.

"Bangunan sekolah dicat semula menerusi peruntukan Kementerian Pendidikan, tidak sangka warna yang dipilih menaikkan seri dan memberi suasana ceria kepada sekolah," katanya.

Mohd Riduan berkata pihak sekolah turut mengucapkan terima kasih kepada PIBG dan mereka yang menyumbang tenaga dan wang ringgit bagi mencantikkan kawasan sekitar sekolah.

Katanya kerjasama erat ini perlu diteruskan bagi membolehkan sekolah dapat melahirkan murid yang cergas, cerdas dan berilmu. Ketika ini sekolah itu yang dibuka pada 1986 mempunyai 18 guru dan 125 murid.

Related Article