Trending
Pendidikan

Guru buka studio, siapkan video pengajaran

Baling: Pelbagai kaedah dilakukan guru sepanjang tempoh sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dalam usaha memastikan murid tetap meneruskan pengajian walaupun tidak hadir ke sekolah secara fizikal.

Antaranya termasuklah rakaman video yang dimuat naik di media sosial selain mengagihkan bahan bercetak. Bagi Guru Cemerlang Perpustakaan dan Media, Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Abu Bakar (SMKSAB), Mohammad Noor Azlan Idris, langkah membuat video untuk tujuan pembelajaran dan pengajaran (PdP) ketika PdPR membawa kepada penubuhan studio.

Dikenali sebagai Studio Akademi Hafizul Quran (Studio Alhaq), ia terbuka untuk digunakan guru dan murid malah beliau turut berkongsi ilmu mengenai teknik penggunaan studio layar hijau dan menyiapkan kandungan.

Penerima empat kali Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sepanjang 15 tahun berkhidmat, Mohammad Noor Azlan berkata, bahan bantuan PdP harus dipersembahkan secara kreatif untuk menarik minat murid.

"Studio ini bermula dengan hanya menggunakan kain hijau sebagai latar belakang.

"Sewaktu PdPR lalu, ramai guru membuat video pembelajaran termasuklah saya. Selepas sesi persekolahan dibuka semula, saya terfikir ini adalah peluang terbaik untuk guru SMKSAB dan juga pihak luar untuk menggunakan Studio Alhaq," katanya.

Mohammad Noor Azlan berkata, penggunaan teknik layar hijau dalam PdPR akan membantu menarik minat murid untuk memahami apa yang diajar.

"Kita menerima pelbagai reaksi positif daripada pelajar, ibu bapa dan komuniti mengenai pembelajaran kreatif seperti ini.

"Adalah diharapkan penggunaan video yang kreatif dalam pengajaran dan pembelajaran serta pemudahcaraan akan membantu murid untuk terus belajar mengulangkaji terutamanya di saat getir menghadapi pandemik ini

Mohammad Azlan yang popular dengan panggilan Ustaz Abah melalui saluran Youtube dan Tiktok, berkata rakaman video pengajaran boleh dimanfaatkan sebaiknya oleh murid kerana mampu diulang siar.

Malah katanya, kaedah 'ulang siaran' menjadi kunci kepada kejayaan konsep pembelajaran studio rakaman layar hijau kerana ia boleh ditonton pada bila-bila masa.

"Dengan adanya rakaman video itu, segala ilmu yang disampaikan saya kepada pelajar dalam kelas dapat dikongsi bersama-sama guru dan pelajar lain tanpa mengira masa dan lokasi.

"Sebagai guru, kami perlu kreatif dan inovatif dalam menyampaikan ilmu dan ini antara pendekatan saya untuk menarik perhatian pelajar agar lebih fokus ketika berada dalam kelas," katanya.

Related Article