KUALA LUMPUR: Seramai 100 pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) dari keluarga B40 menerima manfaat bantuan awal pengajian bernilai keseluruhan RM100,000 yang disalurkan Yayasan Bank Rakyat (YBR).
Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani, berkata inisiatif itu dalam usaha membantu kerajaan memberi bantuan kepada pelajar yang kurang berkemampuan ketika kemasukan ke semester baharu.
Beliau berkata, pemilihan pelajar diploma dan ijazah sarjana muda itu berdasarkan senarai yang dikenalpasti Jabatan Hal Ehwal Pelajar UTEM dengan pelajar terpilih akan menerima bantuan sebanyak RM1,000 setiap seorang.
"Sebagai organisasi yang berusaha meningkatkan sosioekonomi negara melalui pendidikan, YBR sentiasa mencari ruang dan peluang bagi membantu mereka yang memerlukan, khususnya golongan B40 dan asnaf dalam mendapatkan pendidikan lebih baik.
"Saya percaya melalui bantuan seperti ini sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat serta motivasi pelajar yang kurang berkemampuan untuk terus mengorak langkah bagi mengubah nasib keluarga ke kehidupan lebih baik serta mencipta kejayaan pada masa hadapan," katanya dalam kenyataan media.
Penyerahan replika cek bantuan awal pengajian itu disaksikan oleh Naib Canselor UTEM, Prof Dr Massila Kamalrudin.
Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif, Timbalan Ketua Pustakawan, Siti Saluwa Jamal, Pengurus Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin dan Pengurus Serambi Ilmu Rakyat, Zatul hasanah Mohd Radzhuan.
Pada majlis sama, YBR melalui Perpustakaan Digital Serambi Ilmu Rakyat atau lebih dikenali dengan nama SIR Corner menyumbangkan set kelengkapan SIR Corner kepada perpustakaan UTEM.
Syaiful berkata, objektif SIR Corner adalah untuk memberikan manfaat kepada seluruh pelajar UTEM dalam mendapatkan maklumat terkini serta bahan bacaan ilmiah secara digital.
"SIR Corner ini diharapkan dapat meningkatkan carian ilmu tanpa sempadan serta sebagai alternatif kepada pelajar untuk mencari sumber rujukan dalam penghasilan tesis atau tugasan yang diberikan sepanjang tempoh pengajian.
"Inisiatif ini menjadi salah satu medan pemerkasaan pendidikan dalam merealisasikan visi YBR yang berteraskan pendidikan serta akan menjadi kelebihan YBR berbanding yayasan lain," katanya.
Beliau berkata, bagi tahun 2022 sebanyak 20 institut pengajian tinggi di Malaysia terpilih untuk menerima SIR Corner dengan jumlah peruntukan sebanyak RM300,000.
YBR juga memperuntukkan sebanyak RM350,000 setiap tahun untuk langganan dan pangkalan data bahan digital SIR dari pihak pembekal.
Usaha ini bertujuan menggalakkan tabiat membaca buat pelajar dan masyarakat tanpa sempadan masa dan lokasi.