Trending
Politik

Dominic Lau presiden baharu Gerakan

KUALA LUMPUR : Datuk Dominic Lau dipilih sebagai presiden baharu Gerakan dengan memperoleh 729 undi bagi mengalahkan lawannya, Andy Yong yang meraih 445 undi pada pemilihan parti.

Keputusan itu diumumkan Setiausaha Parti, Datuk Yap Kea Peng pada majlis makan malam Gerakan di sini hari ini. Dominic adalah bekas naib presiden Gerakan manakala Andy adalah bekas timbalan ketua Pemuda.

Jawatan Timbalan Presiden dimenangi oleh Oh Tong Keong dengan 845 undi mengalahkan bekas naib presiden parti, Datuk A Kohilan Pillay yang mendapat 328 undi.

Empat jawatan naib presiden parti dimenangi Baljit Singh (821 undi), Choong Vee Hing (648 undi), Khoo Shiaw Lee (584 undi) dan Yap Yeen Ming (389 undi).

Sementara itu, jawatan ketua Pemuda Gerakan yang baharu dimenangi Ooi Zhi Yi, mengalahkan Chew Teik Thye, dan timbalannya adalah Pang Whye Nam manakala tiga naib ketua sayap Pemuda ialah Inderjit Singh, Chan Chee How dan Yap Hong Ting.

Sementara itu, kesemua 23 calon yang bertanding kerusi jawatankuasa pusat Wanita Gerakan menang tanpa bertanding semasa pencalonan minggu lalu.

Janice Wong kini menjadi ketua sayap wanita dan timbalannya adalah Raja Sara manakala Naib Ketua Wanita Gerakan pula ialah Soh Hoon Lee, Ooi Pei Nar dan Yong Fui Ling.

Ini adalah pemilihan parti Gerakan yang pertama selepas kekalahannya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Mei lalu dan meninggalkan Barisan Nasional (BN) Jun lalu.

Keluarnya dari BN menandakan kepulangannya kepada pembangkang sejak menyertai gabungan itu pada 1972.

Bagaimanapun, Gerakan menjauhkan diri daripada dilabelkan sebagai parti pembangkang dan lebih suka dirujuk sebagai parti politik bebas.

Related Article