Trending
Politik

Pemimpin Sabah dilantik anggotai Majlis Tertinggi PN

KOTA KINABALU: Beberapa orang pemimpin Sabah dilantik menganggotai Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) di peringkat Persekutuan.

Antaranya termasuklah Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee yang masing-masing dilantik sebagai Timbalan Pengerusi PN.

Selain itu, Setiausaha Agung STAR, Senator Datuk Guandee Kohoi dan Timbalan Presiden SAPP, Edward Dagul dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi PN.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri, Perikatan Nasional Sabah secara rasmi.

Hajiji dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam, berkata beliau menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pelantikan terbabit.

"Pelantikan ini adalah satu amanah besar untuk membentuk dan memperkukuhkan organisasi dan gerak kerja parti di peringkat negeri hingga ke peringkat akar umbi.

"Kita juga memperkukuh kerjasama di antara PN, Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah (PBS) demi membentuk kesepakatan padu dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekali gus memperkuat kerajaan GRS dalam menunaikan amanah serta melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat," katanya.

Komponen PN di Sabah terdiri daripada BERSATU, STAR, SAPP dan PAS.

Related Article