Trending
Politik

PRN Johor: BERSATU pertahan 11 kerusi DUN

KUALA TERENGGANU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) membayangkan mempertahankan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ahli Majlis Tertinggi (AMT) BERSATU, Datuk Rosol Wahid berkata, keputusan penuh termasuk meletakkan calon untuk penambahan kerusi akan diputuskan selepas mesyuarat majlis tertinggi yang akan dipengerusikan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, pengagihan kerusi untuk PRN Johor juga akan mengambil kira hasil keputusan pada mesyuarat pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN).

"Tetapi kita jangka akan mempertahankan 11 kerusi DUN yang dimenangi BERSATU pada PRU lalu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata demikian ketika mengulas pendirian BERSATU mengenai PRN Johor selepas DUN negeri itu dibubarkan Sabtu lalu.

BERSATU mempunyai 11 kerusi iaitu DUN Gambir, Puteri Wangsa, Tenang, Kempas, Bukit Kepong, Bukit Permai, Larkin, Permis, Sedili, Johor Lama dan Endau.

Mengulas lanjut, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu, berkata sepatutnya DUN Johor tidak dibubarkan kerana rakyat masih lagi berdepan kesan musibah termasuk pasca banjir.

"BERSATU dari awal lagi tidak bersetuju DUN Johor dibubarkan kerana negara masih berhadapan dengan pelbagai musibah termasuk pandemik COVID-19 dan bencana banjir.

"Pimpinan tertinggi BERSATU sudah memberi pandangan PRN Johor tidak perlu diadakan dan mencadangkan agar pembubaran DUN negeri itu ditangguhkan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, BERSATU memutuskan untuk meletakkan calon terutama mengekalkan 11 DUN yang dimenangi selepas kerajaan negeri memutuskan untuk membubarkan DUN bagi membolehkan PRN diadakan.

Related Article