Trending
Politik

Terima prinsip perjuangan PH jika mahu kerjasama

KUALA LUMPUR: Parti yang ingin menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor termasuk Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) perlu menerima prinsip dan landasan perjuangan gabungan itu terlebih dahulu.

Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil, berkata beliau juga percaya parti komponen PH bersikap terbuka untuk menerima kerjasama itu sekiranya syarat berkenaan dipenuhi.

Beliau berkata, kebiasaannya perbincangan dengan parti lain hanya berlaku selepas PH menyelesaikan pengagihan kerusi dalam kalangan komponennya.

"Insya-Allah dalam masa terdekat PH boleh umumkan agihan kerusi dan kebiasaannya bagi PH, langkah pertama ialah menyelesaikan agihan kerusi dalam kalangan parti komponen. Sekiranya ada perbincangan dengan mana-mana parti lain, maka ia akan berlaku selepas itu.

"Saya percaya parti-parti PH terbuka dan yang penting ialah mana-mana parti yang ingin bekerjasama perlu bersetuju dengan prinsip, landasan perjuangan PH dan ia akan bertitik tolak dari situ," katanya kepada BH, hari ini.

Sabtu lalu, PH Johor mengesahkan parti MUDA, secara prinsipnya akan bekerjasama dengan gabungan berkenaan pada PRN Johor.

Pengerusinya, Aminolhuda Hassan, yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, berkata persetujuan itu dicapai dalam perbincangan bersama Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abd Rahman, baru-baru ini.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada petang Sabtu lalu berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor berkuat kuasa serta-merta bagi memberi laluan kepada PRN, diadakan.

Mengenai pemilihan calon, manifesto dan penggunaan lambang pada PRN Johor, Fahmi berkata, setakat ini ia belum dimuktamadkan.

"PRN Johor adalah pilihan raya peringkat negeri, jadi PH negeri telah lama berbincang mengenai agihan kerusi dan beberapa persiapan

"Bagi PH di peringkat Pusat, kami akan muktamadkan keputusan mungkin dalam masa terdekat tertakluk kepada perbincangan di peringkat negeri," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, berkata PH telah mengambil iktibar daripada prestasinya pada PRN Melaka dan Sarawak, baru-baru ini dan akan berusaha mencetuskan momentum baharu di Johor.

Katanya, keadaan di Johor tidak sama dengan dua negeri berkenaan dan pihaknya ada pendekatan berbeza.

"Apapun PH telah mengambil iktibar dengan apa yg berlaku di Melaka dan Sarawak dan insya-Allah memulakan dengan langkah kanan di Johor. Itu yang kita akan ikhtiarkan.

"Keadaan Johor berbeza dan yang mencetuskan (PRN) pun berbeza. Kita lihat di Melaka akibat usaha untuk menukar kerajaan negeri tetapi di Johor, kerajaan sendiri yang membubarkannya," katanya.

Related Article