Trending
Politik

Saya tidak mungkin bertanding atas tiket BERSATU - Mazlan Bujang

KULAI: "Saya tidak mungkin bertanding atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, nanti," kata Ketua Bahagian BERSATU Tebrau, Mazlan Bujang.

Bagaimanapun, Mazlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, menegaskan beliau masih ahli parti berkenaan, setakat ini.

Beliau yang juga bekas Pengerusi BERSATU Johor berkata, akan memutuskan masa depan politiknya bersama parti itu dalam masa terdekat.

"Tunggulah sehari dua lagi saya akan buat keputusan muktamad, namun yang pasti saya tidak akan bertanding PRN Johor atas tiket BERSATU.

"Ini kerana saya tidak sehaluan lagi dengan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tidak nampak ada masa depan, jika terus bersama parti itu.

"BERSATU bukan milik Muhyiddin kerana pemimpin boleh bersilih ganti, namun saya tidak mungkin akan terus bersama parti itu yang dipimpin beliau, kerana prinsip kami tidak sama," katanya kepada BH, hari ini.

Pada 20 Januari lalu, Mazlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, dilaporkan sedia menimbangkan untuk bersara daripada dunia politik, sekiranya PRN Johor diadakan.

Mazlan sebelum ini dilaporkan menafikan akan mengisytiharkan menjadi wakil rakyat Bebas bagi memberi laluan PRN diadakan.

Ditanya sama ada beliau sudah tidak lagi mahu bersama BERSATU, Mazlan mengakui perkara itu.

"Ya, saya tidak mahu bersama BERSATU yang dipimpin bekas Perdana Menteri itu," katanya.

Mengulas sama ada beliau mendapat tawaran parti lain, Mazlan bagaimanapun menolak dakwaan itu.

"Setakat ini, tiada parti yang menawarkan apa-apa kepada saya, cuma akan datang saya tidak pasti. "Tunggulah sehari dua nanti saya putuskan haluan politik saya," katanya.

Related Article