Trending
Wilayah

Penghantar makanan kerah kudrat kayuh basikal

KOTA BHARU: Berpegang kepada pendirian 'asalkan rezeki halal', seorang pemuda nekad menjadi penghantar makanan dengan mengerah kudrat mengayuh basikal demi mencari pendapatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Sekatan Pergerakan Penuh.

Muhammad Syamil Mansor, 19, menceburi pekerjaan itu sejak dua bulan lalu selepas mendaftar dengan sebuah syarikat khidmat penghantaran makanan, di sini.

"Pada awalnya, saya cuba mendaftar sebagai penghantar makanan menggunakan motosikal. Namun disebabkan kuota sudah penuh, saya mengambil keputusan untuk menggunakan basikal pula.

"Ia adalah pengalaman yang bermakna kepada saya walaupun terpaksa melalui pelbagai cabaran dengan mengayuh basikal bawah terik matahari dan hujan, termasuk ketika Ramadan lalu.

"Begitupun, ia tidak menjadi masalah untuk saya memastikan pelanggan menerima penghantaran tempahan mereka pada masanya.

"Dengan berbasikal, saya hanya dapat membuat penghantaran dalam radius dua kilometer (km) dari sebuah pasar raya, di sini. Lazimnya dalam sehari, saya hanya menerima 10 tempahan, bermula dari jam 10 pagi hingga 5 petang," katanya yang berasal dari Kampung Jalan Kemunting, Pasir Puteh.

Muhammad Syamil berkata, basikalnya itu dibeli pada harga RM300 dengan menggunakan hasil tabungan, selain dibantu bapa, Mansor Mahmud, 52.

Beliau yang juga lulusan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) Teknologi Penyejukan dan Penyamanan Udara dari Kolej Vokasional Kuala Krai (KVKK), mahu meringankan beban bapa yang mengambil upah bekerja di kedai perkakasan serta ibu, Rohani Mustafa, 53, seorang suri rumah.

"Meskipun pendapatan diperoleh tidak seberapa, ia dapat membantu meringankan beban keluarga, selain untuk tabungan kerana ini adalah pekerjaan pertama saya.

"Dalam keadaan sekarang, agak sukar mendapatkan pekerjaan lain. Justeru, tiada salahnya saya berbasikal mencari rezeki selagi ia adalah pekerjaan halal. Tambahan pula, saya masih kuat dan sihat tubuh badan," katanya.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu turut mengucapkan terima kasih kepada pihak yang prihatin serta bersimpati melihat beliau bermandi keringat mengayuh basikal bagi menghantar tempahan pelanggan.

Related Article