Trending
Wilayah

Melaka perlu dua projek atasi banjir

MELAKA: Kerajaan Melaka memerlukan peruntukan kira-kira RM53 juta bagi melaksanakan dua projek mengatasi isu banjir berulang, berhampiran Sungai Putat, membabitkan Kolam Tadahan Banjir Sungai Putat.

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Kamel Mohamad, berkata dua projek berkenaan membabitkan kerja membina tembok cerucuk keping konkrit dan meluaskan kolam tadahan berkenaan yang akan dilaksanakan secara berperingkat, selepas mendapat peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.

"Pelaksanaan dua projek ini melibatkan pendekatan jangka pendek, sederhana dan panjang, bagi memastikan isu banjir di Sungai Putat yang berpunca daripada kolam tadahan di sini dapat diatasi.

"Kita sudah memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan, bagi melaksanakan dua projek ini dan kerajaan negeri berharap mendapat kelulusan segera," katanya ketika ditemui pemberita ketika meninjau kolam tadahan itu, di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini, kerajaan negeri meluluskan RM500,000 bagi membina tembok cerucuk keping konkrit sepanjang 72 meter di tepi kolam tadahan berkenaan dengan ketinggian 0.5 meter, sebagai pendekatan jangka pendek mengatasi isu berkenaan dan dijangka siap pada Disember ini.

Katanya, bagi usaha jangka sederhana pula, tembok cerucuk keping konkrit sepanjang 500 hingga 600 meter akan dibina di tepi kolam berkenaan membabitkan peruntukan kira-kira RM2.5 juta.

Kamel berkata, kolam tadahan berkenaan perlu diluaskan kepada 30 hektar berbanding keluasan sedia ada iaitu 8.2 hektar, bagi memastikan air hujan yang ditadah di kolam berkenaan tidak melimpah keluar ke jalan raya, seterusnya menyebabkan banjir berlaku di kampung itu.

"Kolam ini perlu diluaskan lagi sebanyak 21.8 hektar dan kos melaksanakan kerja-kerja ini dianggarkan kira-kira RM50 juta," katanya.

Sungai Putat antara kawasan yang sering banjir banjir di negeri ini, sekiranya hujan lebat dalam tempoh yang lama dan pada tahun ini sahaja, lebih tiga kali banjir kilat berlaku di kawasan berkenaan. – BERNAMA