Trending
Wilayah

Pantai Sepat alami hakisan serius

KUANTAN: Pantai Sepat, dekat sini yang menjadi tumpuan orang ramai beriadah dan rekreasi mengalami hakisan yang agak serius.

Ini berikutan, akar pokok di pantai terbabit jelas kelihatan selepas berlaku hakisan yang boleh mengundang bahaya kepada pengunjung, setiap kali berakhirnya musim tengkujuh.

Seorang pengunjung, Ikmal Khalish Kamaruddin, 35 dari Sungai Isap, di sini meminta pihak yang berkenaan bertindak segera untuk memastikan isu hakisan di kawasan pantai itu ditangani segera.

Katanya, ia bukan sahaja untuk memastikan keselamatan pengunjung tetapi untuk kesan jangka panjang alam sekitar di situ.

"Kita tidak mahu melihat hakisan lebih serius berlaku hingga menjejaskan kawasan pantai yang menjadi tumpuan pengunjung beriadah.

"Saya harap langkah sewajarnya dapat dilakukan kerajaan melalui agensi berkaitan untuk mengelak daripada hakisan yang lebih teruk," katanya.

Bagi Kamariah Ibrahim 49, dari Indera Mahkota, di sini pula berkata, hakisan pantai dapat ditangani dengan perancangan awal.

"Antara langkah yang perlu dilakukan ialah membina tembok atau halangan untuk menyekat ombak besar ketika musim tengkujuh," katanya.

Pantai Sepat kini antara pilihan orang ramai beriadah selain pantai lain seperti Kempadang, Balok, Batu Hitam, Cherating dan Teluk Cempedak.

Namun, jika tiada sebarang tindakan dilakukan, bukan sahaja pantai Sepat, malah pantai lain juga akan mengalami nasib sama.

Justeru, langkah segera untuk menanganinya perlu dilaksanakan terutama apabila berdepan musim tengkujuh setiap tahun.

Related Article