Trending
Wilayah

Penularan COVID-19 stabil di Sarawak

KUALA LUMPUR: Sarawak menstabilkan penularan COVID-19 melalui pelalian remaja dan dos penggalak.

Menerusi laman Twitter Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), gelombang kedua yang berlaku di negeri itu berjaya diatasi menerusi pemberian dos vaksin berkenaan.

"Pencapaian cemerlang liputan vaksinasi di Sarawak berjaya menstabilkan situasi COVID-19 di negeri itu.

"Gelombang kedua berlaku susulan keberkesanan dos primer berkurangan tetapi kita berjaya menurunkan kes apabila vaksinasi remaja dan dos penggalak dimulakan. #PICKBooster," katanya.

Menerusi carta infografik yang dikongsi JKJAV, gelombang kedua mula memuncak bermula September hingga Oktober tahun lalu, namun pada tempoh sama, pelalian untuk kumpulan berusia 16 hingga 17 tahun bermula pada 18 September.

Ini diikuti pelalian untuk kumpulan 12 hingga 15 tahun pada 24 September, seterusnya dos ketiga dan penggalak pada 13 Oktober lalu.

Sejak dari tempoh itu hingga hari ini, kes di Sarawak menurun ke paras terendah, iaitu di bawah angka 1,000 kes.

Tinjauan di laman COVIDNOW pula mendapati jumlah keseluruhan pelalian di Sarawak mencapai 75.8 peratus dengan dewasa (91.8 peratus) dan remaja (88.2 peratus).

Sementara itu, jumlah keseluruhan pelalian di Malaysia dilihat sudah mencapai 78.7 peratus dengan 5,717,494 diberikan, setakat semalam.

Ini meliputi 97.9 peratus bagi dewasa dan 88.3 peratus bagi remaja.

Lembah Klang meluputi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya tertinggi dengan 94.5 peratus, diikuti Pulau Pinang (86 peratus), Negeri Sembilan (84.2 peratus), Johor (80.7 peratus) dan Perlis (80.3 peratus).

Related Article