Trending
Wilayah

Perdana Menteri lulus RM2 juta bina masjid baharu FELDA Belara

KUALA TERENGGANU: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluluskan peruntukan RM2 juta untuk pembinaan masjid baharu di FELDA Belara di Tepuh, dekat sini.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata pembinaan masjid baharu itu bagi menampung bilangan jemaah yang semakin bertambah dan peruntukan bagi tujuan berkenaan diluluskan pada Khamis lalu.

Katanya, surat permohonan peruntukan dan kelulusan itu ditandatangani terus oleh Perdana Menteri selepas persidangan khas Dewan Rakyat mengenai banjir minggu lalu.

"Sepatutnya, peruntukan segera hanya diluluskan sebanyak RM1 juta, tetapi atas kesedaran Perdana Menteri yang juga anak peneroka, beliau bersetuju meluluskan RM2 juta.

"Walaupun peruntukan sebenar untuk pembinaan masjid baharu membabitkan kos antara RM7 juta hingga RM10 juta, kita akan usaha menggunakan kaedah lain, " katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Mohd Khairuddin yang juga bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi mengumumkan kepada jemaah kelulusan peruntukan berkenaan selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid FELDA Belara.

Katanya, beliau dan Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim akan berusaha memohon peruntukan dengan pelbagai agensi Persekutuan dan negeri bagi melengkapkan baki dana yang diperlukan.

"Saya akan berusaha sedaya upaya untuk membantu merealisasikan hasrat rakyat, terutama membabitkan pembinaan masjid yang menjadi simbol kekuatan syiar Islam," katanya.

Related Article