Trending
Wilayah

Terima geran hak milik selepas 44 tahun

JEMPOL: Seramai 329 peneroka dari FELDA Raja Alias Satu dan 308 peneroka dari FELDA Raja Alias Dua menerima geran hak milik selepas 44 tahun menjadi peneroka di tanah rancangan FELDA berkenaan.

Penyerahan bagi fasa satu itu disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun di Dewan Besar Pejabat Daerah Jempol, hari ini.

Baki 111 peneroka dari FELDA Raja Alias Satu dan 55 peneroka FELDA Raja Alias Dua akan menerima hak milik selewat - lewatnya akhir Mac ini sebaik urusan pengambilan tanah oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB ) bagi Pencawang PMU Yong Peng-Bahau dan hak milik yang mengalami isu pusaka dan dokumentasi permohonan berjaya diselesaikan.

Aminuddin berkata, majlis penyerahan hak milik menandakan penyelesaian hampir 100 peratus hak milik bagi FELDA Wilayah Raja Alias dan hak milik diterima adalah hari bersejarah buat peneroka.

Katanya, di Negeri Sembilan terdapat 49 tanah rancangan FELDA dan 36 tanah rancangan berada dalam daerah Jempol yang terdiri daripada FELDA gugusan Palong, gugusan Pasoh, gugusan Lui, gugusan Serting Hlir dan gugusan Raja Alias.

" FELDA Raja Alias Satu dan Dua mula diduduki sekitar 1978 hingga 1980-an dan pada asalnya menanam getah dan kini sudah bertukar kepada kelapa sawit dan turut menikmati limpahan pembangunan Bandar Seri Jempol," katanya hari ini.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr Razali Abdul Malek ; Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Sembilan, Teo Kok Seong dan Pegawai Daerah Jempol, Nawal Mohamed Amin.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin turut memberi peringatan kepada peneroka supaya berhati-hati mengenai tawaran syarikat yang kononnya mempunyai usaha sama dengan pelabur dari luar negara bagi memajukan tanah rancangan FELDA di Jempol serta scammer yang turut mahu mengambil kesempatan.

"Jangan nanti peneroka berputih mata, selidik dahulu sesuatu perkara memandangkan peneroka FELDA ketika ini adalah sasaran utama pihak yang ingin mencari keuntungan dengan mudah," katanya.

Related Article